Pemilihan UMNO: Demokrasi Perkara Subjektif, Perlu Disesuaikan Mengikut Keadaan – Wan Rosdy

 

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Demokrasi merupakan perkara yang sangat subjektif dan perlu disesuaikan mengikut keadaan mahupun tempat kerana ianya tidak boleh terbuka begitu sahaja.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kadangkala konsep demokrasi ini perlu dikawal bagi menjaga perpaduan dan keharmonian.

“Demokrasi ini sangat subjektif sebenarnya dan kadang-kadang kita perlu lihat sesuatu keadaan mahupun tempat. Ianya tidak terbuka begitu sahaja.

“Kadang-kadang ada demokrasi terpimpin, terbuka dan ada demokrasi yang kita kena kawal demi kesinambungan perpaduan, kedamaian. Konsepnya sangat luas dan bergantung kepada keadaan,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Pahang itu turut memaklumkan menawarkan diri sebagai Naib Presiden UMNO bagi musim pemilihan kali ini untuk meneruskan khidmat bakti kepada parti.

“Saya sebenarnya terpanggil untuk bertanding apabila ada kekosongan dan saya melihat bahawa semasa 22 bulan di Pahang, apabila kita tidak bersama dengan kerajaan persekutuan serta mentadbir secara sendirian.

“Kemudian, diikuti dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Cameron Highlands. Disitu sebagai ‘turning point’ apabila UMNO/Barisan Nasional (BN) buat pertama kalinya menang. Bermula dari situ, kita terus mencipta kemenangan.

“Saya percaya ini sedikit sebanyak UMNO/BN negeri yang saya secara kebetulan menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Negeri mampu melaksanakan tanggungjawab walaupun ketika itu kerajaan persekutuan tidak bersama dengan kita,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy turut melahirkan rasa syukur apabila UMNO)/BN berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman meskipun dilanda tsunami politik yang hebat.

“Semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, di penghujungnya adalah PRK Tioman apabila kita dapati calon sepatutnya bertanding telah meninggal dunia dan hari pengundian diadakan secara berasingan. Pada ketika itu pun berlaku tsunami dan alhamdulilah UMNO Pahang masih dapat mempertahankan Tioman.

“Jadi, saya berfikir apa salahnya sekiranya saya ingin menyumbang bakti ke peringkat UMNO pusat dan dalam masa yang sama membantu kepimpinan parti kerana kita semua tahu parti kita telah menurun darjahnya. Ini semua kita harus akui dan bangkit semula,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit