‘Pendakwaan Terpilih’: PN Dan Muhyiddin Hipokrit – Mohd Shukry

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan bahawa pertuduhan sedang dihadapi anggota mereka adalah pendakwaan terpilih membuktikan betapa hipokritnya mereka.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Selayang, Mohd Shukry Roslan berkata, taktik menyalahkan UMNO sudah menjadi rutin bagi musuh-musuh parti untuk menutup kesalahan mereka sendiri.

“Kata-kata daripada Muhyiddin Yassin ini membuktikan betapa hipokritnya PPBM dan juga PN. Sebelum ini, apabila mereka mendakwa pemimpin-pemimpin UMNO tiada pula istilah ‘pendakwaan terpilih’.

“Tetapi, apabila kena kepada mereka ianya jadi pendakwaan terpilih pula. Taktik menyalahkan UMNO ini bukan perkara baharu dan menjadi rutin kepada musuh-musuh parti.

“Mereka yang melaksanakan darurat, memberikan ‘award’ kontrak dan masukkan duit ke dalam akaun parti. Tetapi yang salah, Presiden UMNO dan juga parti,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, UMNO tidak sepatutnya melayan tuduhan-tuduhan tersebut sebaliknya memberikan fokus kepada penstrukturan semula parti dan membiarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.

“Itulah pandangan saya dan saya rasakan perkara ini sebenarnya kita tidak sepatutnya layan dan fokuskan kepada menstrukturkan semula parti dalam pemilihan kali ini.

“Biarkan SPRM jalankan tugas mereka untuk buat pendakwaan dan kita serahkan kepada pihak berkuasa sebagaimana pemimpin-pemimpin kita hadapi,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Mohd Shukry berpendapat bahawa rakan sekutu PPBM iaitu Pas sepatutnya bermuhabasah diri dan menilai semula pendirian mereka dalam membentuk kerjasama.

“Pas sepatutnya muhasabah diri. Sebelum ini mereka tidak mahu bekerjasama dengan kita sebab kita ini terpalit dengan isu-isu rasuah dan sebagainya. Tetapi hari ini apabila PPBM dihadapkan dengan pertuduhan, lain pula ceritanya.

“Maknanya, pendirian mereka tentang ‘bersih’ atau tidak ini bergantung kepada siapa pula. Ia bukannya satu prinsip yang tegak dan kekal. Pada saya, Pas patut fikirkan baliklah kerjasama mereka dengan PPBM,” katanya lagi.

Pada Selasa media melaporkan bahawa Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menyatakan rasa kesal dan sedihnya susulan pendakwaan rasuah ke atas ketua penerangannya, Wan Saiful Wan Jan dan seorang lagi pemimpin.

Malah, bekas perdana menteri itu juga mendakwa pendakwaan yang dibuat terhadap Bersatu itu didalangi oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.