Pemilihan UMNO Simbolik Kebangkitan, Kembali Raih Kepercayaan Rakyat – Zaidy

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Zaidy Abdul Kadir berpandangan Pemilihan UMNO sesi 2023/2026 kali ini memberikan signifikannya yang tersendiri dalam membawa corak baharu kepada parti keramat ini.

Beliau yang menawarkan diri sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berkata ini termasuk meraih kembali kepercayaan rakyat rentetan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Sekiranya diberikan mandat untuk menang sebagai MKT ini, saya berharap UMNO dalam masa empat tahun ini iaitu menjelangnya PRU16 dapat membawa kebaikan kepada UMNO di mana kita dahulunya kalah pada PRU15.

“Rakyat telah hilang keyakinan terhadap parti ini namun saya percaya suatu hari nanti UMNO akan bangkit kembali dan saya ingin usaha lebih gigih untuk memastikan kepercayaan rakyat terutama anak-anak muda yakin kepada UMNO.

“Saya sebagai Pemuda sebelumnya sudah habis tempoh, jadi hendak meneruskan kerja khidmat bakti dalam UMNO dengan menawarkan diri untuk bertanding sebagai MKT,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Zaidy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jempol dalam pada itu meluahkan pandangan bahawa perkembangan politik pada kali ini yang menyaksikan penubuhan Kerajaan Perpaduan perlu didukung sebaiknya.

Malah jelas beliau ianya juga sebagai strategi terbaik sebagai persediaan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri kelak.

“Paling penting kita tubuh Kerajaan Perpaduan bersama-sama kemudian kena pastikan kerajaan ini kekal sehingga empat tahun akan datang.

“Kena ingat kerana masih ada lagi enam PRN yang akan berlangsung, insya-Allah Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor akan tertubuhnya kerajaan negeri Perpaduan manakala tiga negeri lagi iaitu Kelantan, Terengganu dan Kelah kita kena lihat kepada keadaan semasa,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit