Pemilihan UMNO Penentu Hala Tuju Ke Arah Kebaikan Dan Perubahan – Muhamad Nur Aizat

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Proses demokrasi pada musim Pemilihan UMNO kali ini merupakan tali pengukur untuk parti menuju ke arah penambahbaikan dan melakukan perubahan.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Muhamad Nur Aizat Noor Azam berkata, pemilihan yang berlangsung pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu sudah tentunya menjadi salah satu usaha untuk memulihkan parti.

“Pertamanya kita melihat apabila proses demokrasi Pemilihan UMNO ini berlangsung pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, sudah tentulah ianya merupakan satu usaha untuk mencari bagaimana untuk memulihkan parti sebab kita tahu, UMNO telah tewas dua kali pilihan raya. Walaupun kita jadi separa kerajaan, tetapi hakikatnya UMNO tetap kalah.

“Proses demokrasi pemilihan kali ini dijadikan satu bahan ataupun tali pengukur sama ada UMNO itu ke arah penambahbaikan, berubah, mahu menerima idea-idea baharu dan paling penting adalah UMNO memerlukan sentuhan daripada kepelbagaian kepimpinan.

“Maknanya, sebelum ini mungkin golongan professional dan sebagainya. Tetapi kita dah lihat pada kali ini saya rasa dan kita pun dah kira banyak penglibatan daripada golongan professional yang baik berada dalam sistem ataupun tidak menawarkan diri untuk menjadi sebahagian daripada kepimpinan parti bagi memulihkan semula UMNO,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, meskipun UMNO dilabel sebagai parti yang lemah, ramai ahli masih berminat untuk menawarkan diri sebagai pemimpin dan mempunyai kualiti tersendiri.

“Saya juga sebenarnya tertarik apabila kita tahu bahawa UMNO ini parti yang dah lemah tetapi sebenarnya kita lihat daripada segi kualiti bakal-bakal pemimpin yang nak menawarkan diri ini semuanya mempunyai kualiti sangat baik.

“Ini menunjukkan bahawa UMNO bukan lagi berada di dalam tahap yang sendu dan sebagainya kita boleh bangkit balik.

“Proses demokrasi pada kali ini perlulah kita jalankan penuh profesional sebab kita tidak mahu kerana pemilihan ada perpecahan. Sebaliknya pemilihan ini kita jadikan satu tempat ataupun platform untuk kita mencari mana yang lebih baik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau yang menawarkan diri sebagai Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada pemilihan kali ini turut berharap agar para perwakilan membuat pilihan bijak demi mencorak masa depan parti.

“Saya berharap semua perwakilan buatlah pilihan yang bijak, tidak perlu mengikut apa yang diacukan. Tetapi, kita sendiri membuat keputusan berdasarkan apa yang kita nak lihat UMNO pada masa hadapan.

“Pemilihan kali ini sangat penting. Kalau kita gagal untuk menampilkan UMNO yang berwajah baharu, harapan untuk kembali mempunyai kekuatan mungkin akan ada sedikit masalah. Buatlah pilihan yang bijak.

“Alhamdulilah hari ini saya menawarkan diri sebagai Exco Pemuda UMNO Malaysia, meneruskan khidmat dan jawatan yang saya telah sandang sebelum ini.

“Insya-Allah dengan semangat dan iltizam untuk saya nak membantu bagaimana kita nak mencari jalan bagi orang muda dalam semua peringkat tidak kira di mana sahaja, mencari bagaimana mereka boleh bergantung harap dan kembali kepada UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit