Pemilihan UMNO Masa Terbaik Perkukuh Parti Untuk Masa Depan – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Pemilihan UMNO 2023 merupakan masa terbaik untuk mengukuhkan parti meskipun ianya sekarang sudah berada dalam kerajaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, ini adalah peluang terbaik bukan sahaja kepada yang menawarkan diri bahkan kepada ahli-ahli untuk memilih barisan kepimpinan yang komited dalam usaha pemulihan parti.

“Sebenarnya ini adalah masa untuk kita mengukuhkan parti meskipun sudah berada dalam kerajaan. Ianya memberikan nafas baharu kepada parti untuk menyusun gerak kerja dan bangkit semula. Jadi bersesuaian dengan pemilihan parti maka ianya perlu seiring.

“Pemilihan parti ini tujuan dan matlamatnya seiring dengan pengukuhan parti ketika UMNO berada dalam kerajaan setelah menghadapi kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Ini adalah peluang terbaik bukan sahaja kepada yang menawarkan diri tetapi pada ahli untuk memilih satu barisan kepimpinan komited bagi bersama-sama memulihkan parti,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, Pemilihan UMNO ini juga membuktikan bahawa demokrasi dalam parti sentiasa subur meskipun dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan seperti yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu.

“Pemilihan ini sebenarnya adalah satu proses bagi membuktikan bahawa demokrasi tidak pernah mati dalam UMNO. Jangan kata oleh kerana tidak ada pertandingan jawatan nombor satu dan dua maka tidak ada demokrasi.

“Tidak ada pemilihan itu pun sebenarnya demokrasi dan ianya diputuskan secara majoriti dalam PAU. Sekarang ini ada juga pemilihan di peringkat Naib Presiden hingga ke bawah.

“Demokrasi tetap hidup di dalam parti. Ahli UMNO tetap berminat untuk bertanding dan menawarkan diri walaupun parti ini dikatakan kalah teruk dalam pilihan raya lalu. Ramai yang menawarkan diri dari peringkat sayap hingga ke Naib Presiden dan MKT,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu turut mengingatkan para calon untuk berjuang berasaskan ciri sahabat meskipun bersaing antara satu sama lain.

“Kita sahabat seperjuangan itulah tema saya. Bagi saya, UMNO adalah sebuah parti perjuangan. UMNO perlukan pejuang tetapi mestilah berjuang dengan ciri sahabat.

“Kita tidak mahu rakan perjuangan atau sahabat perjuangan yang tidak patuh pada keputusan parti dan menikam dari belakang maka kali ini kena berjuang bersifat dan bersandarkan sahabat seperjuangan. Sahabat seperjuangan bermaksud teras kepercayaan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit