Kembali Teguh, Rakyat Letak Harapan Cukup Tinggi Pada UMNO – Hasni

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Hasni Mohammad yakin secara keseluruhan orang Melayu dan rakyat meletakkan harapan yang cukup tinggi pada UMNO agar bertambah baik bagi masa mendatang.

Ini kerana katanya, rakyat berharap agar UMNO dapat diperkasakan untuk kembali teguh dan seterusnya menjadi pilihan utama.

Pendaftaran Pemilihan UMNO
KUALA LUMPUR, 24 FEB — Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad menyerahkan borang kepada kakitangan Ibu Pejabat UMNO Malaysia semasa Pendaftaran Calon Pemilihan UMNO 2023-2026 di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn sebentar tadi.

“Masyarakat mahukan UMNO ditambah baik sama ada dari segi hala tuju untuk masa depan parti malah yakin ianya akan kembali menjadi satu keutamaan dan pilihan kepada masyarakat Melayu di luar sana dalam perjuangan.

“Saya percaya bahawa UMNO ini boleh lebih baik daripada hari ini dan dalam masa yang sama rakyat juga boleh membuat pilihan dengan pendekatan baharu.  

“Kita hendakkan pemimpin yang berani membuat keputusan sekalipun sukar… walaupun pilihan yang muda itu ada tetapi demi kebaikan parti walau sesukar mana pun sesuatu keputusan itu harus ada keberanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghantar borang pencalonan dengan menawarkan diri sebagai Naib Presiden UMNO sempena pemilihan parti di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Hasni yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berpesan kepada semua perwakilan agar jadikan pemilihan ini sebagai satu ruang dan peluang untuk bariskan kepimpinan yang terkuat.

“Janganlah kita jadikan pemilihan ini sebagai punca untuk melemahkan parti sebaliknya jadikan pemilihan ini sebagai satu ruang dan peluang untuk bariskan kepimpinan terkuat.

“Jadikan pemilihan ini untuk UMNO lebih baik dan seterusnya dapat hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), juga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang serta terus menjadi parti pilihan rakyat,” ujarnya.

Dalam masa yang sama juga bekas Menteri Besar Johor itu menambah parti ini tidak ketandusan pemimpin malah ianya mendapat sambutan yang baik dari pelbagai pihak.

“Ini jelas menunjukkan bahawa sambutan dan keyakinan terhadap UMNO itu terbukti apabila ramai yang menawarkan diri.

“Janganlah memandang sepi sebaliknya meraikan dan sambut baik hasrat semua pihak untuk bertanding dalam pemilihan ini,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit