Tok Det Calon Diri Pertahan Jawatan, Bawa Gagasan Kebersamaan Demi Perjuangan

KUALA LUMPUR, 23 Feb –  Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini mengumumkan untuk menawarkan diri sekali lagi sebagai calon Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti yang akan berlangsung bulan depan.

Pada sidang medianya, beliau berkata UMNO hari ini berada dalam situasi yang mencabar dan atas landasan itu beliau mengambil pendirian untuk bersama-sama saf kepimpinan yang lain bagi membantu parti sebaiknya.

“Untuk sesi akan datang ini sukacita saya tawarkan diri sekali lagi untuk bertanding dan mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO bagi penggal kedua. UMNO ketika ini berada dalam situasi mencabar dan saya ambil pendirian untuk sama-sama dengan saf kepimpinan tertinggi UMNO.

“Atas faktor untuk mengembalikan semula semangat perjuangan parti keramat ini, saya membawa gagasan kebersamaan demi perjuangan dalam pemilihan kali ini untuk didukung bersama ahli-ahli UMNO segenap peringkat.

“Sesungguhnya dengan setiap sokongan dan dukungan yang diberi, perjuangan untuk UMNO dan ahli-ahlinya tiada noktah pengakhiran bagi diri saya  untuk terus berbakti atas semangat ‘Gagasan Kebersamaan Demi Perjuangan’, saya akan lakukan yang terbaik untuk bangsa Melayu dan UMNO,” katanya.

Kata beliau lagi yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, berbekalkan pengalaman luas dalam politik dan pentadbiran di peringkat negeri serta persekutuan, pelbgai langkah dan jalan akan dicari kelak dalam usaha mencorakkan kembali dinamika UMNO.

“Ketika ini UMNO berada dalam situasi mencabar… dua kali kalah dalam pilihan raya. Sebagai parti yang besar dan lama menjadi kerajaan, saya fikir parti ini berada dalam keadaan cukup dewasa untuk bergerak dan masyarakat boleh menilai dalam jangka masa tertentu, insya-Allah.

“Parti diberi satu persepsi yang barangkali di luar sana tidak dapat apa yang digapai … 2018 ada persepsi buruk yang melanda parti dan 2022 pun sama… jadi sebab itu saya katakan kepimpinan yang ada mesti  mencari jalan untuk kita kembalikan sokongan.

“Parti ini berada tujuh dekad dah… tiap-tiap dekad ada zaman yang telah dilalui dan insya-Allah dalam dekad akan datang ini UMNO boleh menjadi parti yang gah serta disukai orang Melayu khususnya,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama beliau turut merakamkan penghargaan kepada perwakilan serta seluruh ahli parti yang telah memberikan kepercayaan kepada beliau untuk menjawat jawatan berkenaan sebelum ini. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit