Tekad Kembalikan Kepercayaan Akar Umbi, Bina Semula UMNO – Shaiful Hazizy

ALOR SETAR, 23 Feb – Demi mengembalikan semula kepercayaan akar umbi, UMNO perlu menghayati konsep ‘Bina Semula’ terutama sekali dalam mendepani situasi politik yang semakin mencabar ini.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pelbagai perubahan perlu dilakukan terutamanya dari segi gerak kerja khususnya untuk menarik semula sokongan rakyat.

“Demi mengembalikan semula kepercayaan akar umbi, saya percaya parti yang kita cintai ini perlu menghayati keperluan konsep ‘Bina Semula UMNO’.

“Perlu ada perubahan dalam mengubah pendekatan dan gerak kerja parti terutamanya mendepani situasi politik di peringkat bahagian, negeri serta negara pada masa akan datang,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok itu mengumumkan untuk menawarkan diri bagi bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Merbok.

“Saya Shaiful Hazizy Zainol Abidin, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok dengan rendah diri menawarkan diri bertanding bagi jawatan Ahli MKT UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Merbok demi meneruskan khidmat dan bakti saya kepada parti.

“Dengan iltizam yang tinggi, kali ini saya memilih untuk tidak berada dalam zon selesa, tetapi memilih jalan berliku dengan menyertai Pemilihan UMNO 2023 di peringkat MKT dan peringkat UMNO Bahagian. Insya-Allah, saya akan terus tawakal, berusaha dan berdoa agar diberikan petunjuk dan panduan.

“Dengan penuh keinsafan dan rendah diri, ingin saya tegaskan bahawa diri ini tidak sempurna, diri ini bakal diuji, dan diri ini bakal menerima pengharapan menggunung, namun Allah jua segalanya,” katanya lagi.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari serta akan berakhir pada 26 Februari 2023.

Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit