Pemilihan 2023 Medan Terbaik Perkasa Agenda Membela Masa Depan UMNO – Jamil Khir

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berpandangan bahawa Pemilihan UMNO 2023/2026 adalah medan terbaik bagi memperkasa agenda membela masa depan bangsa melalui UMNO.

Katanya, agenda itu penting untuk dilaksana bagi memastikan parti keramat ini terus relevan di samping meraih sokongan rakyat.

“Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlalu dan kita ada tempoh lagi lima tahun yang mendatang. Jadi kita perlu menyusun langkah, bergerak ke hadapan sebagaimana parti harus bergerak dan menampilkan wajah-wajah untuk mewakili parti termasuk Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di masa yang akan datang.

“Saya yakin dengan kesedaran ahli yang menjiwai UMNO ini ia akan menggamit sokongan agar UMNO kembali diperteguh dan diperkukuhkan,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Jelas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah itu lagi, keputusan PRU15 memberikan manifestasi tersendiri untuk UMNO bangkit dan bersepakat menggapai kejayaan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Walaupun ramai melihat bahawa PRU14 dan PRU15 kita tidak berada dalam garis kemenangan yang memungkinkan kita membentuk sebuah kerajaan pada peringkat kebiasaan, tetapi saya juga melihat bahawa ada faktor yang dapat dilihat terutama PRU15.

“Kita mengambil ketetapan untuk bertanding dalam konteks yang kita katakan khusus untuk PRU15 iaitu solo. Ertinya, dalam komposisi bersama MIC dan MCA serta parti-parti komponen yang bersama dengan kita.

“Ini menunjukkan semangat kejituan mengharungi perjalanan PRU15 dan kita melihat harapan kita selepas ini UMNO ada masa dan tempoh yang begitu panjang,” ujar beliau.

Jamil Khir juga pada masa sama memaklumkan akan bertanding jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan menyambut baik nilai demokrasi yang sinonim diamalkan parti ini.

“Saya sekali lagi dengan rendah hati mengambil tanggungjawab ini menawarkan untuk berada dalam saf kepimpinan utama parti iaitu barisan MKT.

“Difahamkan jumlah yang menawarkan diri untuk bertanding ini di pelbagai peringkat begitu ramai.

“Saya melihat ianya merupakan suasana yang bukan hanya kesuburan demokrasi tetapi ramainya menawarkan diri untuk berada dalam saf kepimpinan menampakkan mereka tetap bersetia bersama dengan UMNO,” jelas beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit