Perkukuh UMNO, Kuatkan Kembali Parti Pasca PRU – Abdul Rahman


KUALA LUMPUR, 21 Feb – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad hari ini menyerahkan borang menawarkan diri bertanding bagi mengekalkan jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sesi 2023-2026 pada pemilihan parti itu bulan ini.

Beliau hadir ketika sesi rehat Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen untuk menyerahkan borang tersebut pada pukul 2 petang di Ibu Pejabat UMNO, di sini, hari ini.

Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis merangkap Ahli Parlimen Lipis berkata, fokus utama cukup jelas iaitu kita perlu melakukan apa sahaja yang perlu untuk bangkit semula dalam tempoh tiga tahun akan datang kerana inilah parti yang menjadi dukungan orang Melayu.

“Tuntutan untuk memulihkan semula kepercayaan rakyat kepada UMNO di Pasca PRU ini bukan lagi satu pilihan namun satu kewajipan buat saya dan semua ahli.

“Beri peluang untuk saya terus berkhidmat bagi merangka strategi kerana usaha untuk memulihkan dan menguatkan parti ini berdepan cabaran yang besar dan perlu bermula dari sekarang.

“Berbekalkan pengalaman lebih 30 tahun dalam UMNO, dengan rendah hati, saya tawarkan diri bertanding sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia dan berharap mendapat sokongan daripada semua,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Beliau seterusnya berkata, cabaran utama adalah mengembalikan kepercayaan rakyat dan menarik sokongan orang muda.

”Kita menerima hakikat ini dan mesti bersedia berdepan dengan realiti. Maka disebabkan itu, saya bersedia menggalas tanggungjawab ini demi kelangsungan parti yang kita sayangi ini,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit