Pemilihan UMNO 2023 Ruang Untuk Perkuatkan Semula Parti – Khaidirah


KUALA LUMPUR, 21 Feb – Pemilihan UMNO memberikan peluang kepada seluruh kepimpinan untuk melakukan perubahan positif dalam usaha untuk memperkuatkan semula parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Khaidirah Abu Zahar berkata, sudah semestinya penting untuk parti melakukan perubahan terutamanya selepas tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu.

“Pada pandangan saya, setiap kali pemilihan diadakan tentunya adalah untuk mengamalkan demokrasi.

“Sudah tentu ianya juga peluang kepada parti dan seluruh kepimpinan tidak mengira lapisan untuk membuat sebarang perubahan. Tetapi, apa yang penting bukan perubahan sembarangan sahaja yang kita mahu lihat. Sebaliknya, kita nak tengok perubahan yang betul-betul mampu memberikan impak baik.

“Kita nak pastikan sesiapa sahaja calon menawarkan diri mampu memberikan tawaran yang akan memberi kesan baik kepada parti, memperkuat dan meyakinkan orang ramai bahawa UMNO masih mampu menggalas prinsip perjuangan sebenar meskipun diancam pelbagai persepsi,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim turut menawarkan diri bertanding sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO dalam pemilihan kali ini.

Ujarnya, Pergerakan Puteri UMNO perlu menuju ke hadapan dalam menyeberangi cabaran dan dinamik politik kala ini.

“Selama satu penggal, kita tengok Puteri mengalami satu musim yang pelbagai. Semua orang pun mengalami waktu menduga dan sebagainya, susah dan senang tetapi yang penting, menuju ke hadapan dengan cabaran dan dinamik politik bukanlah sekadar pembaharuan dengan menukar sahaja nama ketua daripada penggal lepas ke penggal ini.

“Ini kerana, kepimpinan Puteri yang akan datang perlulah dapat mengukuhkan dan membawa Puteri ke satu peringkat yang lain iaitu mampu dijadikan sebagai rujukan utama kepada mana-mana pihak khususnya kepada kerajaan sendiri berkenaan hal wanita muda.

“Sehinggakan kita mampu memberi kesan kepada dasar negara sendiri khususnya dalam hal-hal wanita muda. Jadi, kita boleh beri impak yang lebih daripada sekadar laungan kumpulan wanita muda selain mampu bergerak sebagai jentera parti yang sangat kuat,” katanya.

Mengulas lanjut berkaitan pemilihan kali ini, beliau menyeru semua calon untuk bertanding secara sihat dan yakin bahawa para perwakilan sudah matang dalam membuat keputusan.

“Kepada sesiapa sahaja yang telah pun menawarkan diri dan sebagainya, bertandinglah secara sihat. Saya sendiri pun tak tahu macam mana, kita pun dalam keadaan waktu yang sangat singkat jadi kadang-kadang kita berjaya jumpa semua orang dan kadang-kadang tidak.

“Tetapi, apa-apa pun percaya saya rasa Puteri dah cukup matang. We are more than 20 years, have done this like more two or three times kita akan adakan pemilihan so Puteri dah cukup matang untuk melakukan dan menjalankan satu proses demokrasi sihat.

“Semua calon akan buat yang terbaik, semua calon akan pastikan berjaya menawan dan menambat hati perwakilan untuk mengundi. Apa pun, kita buat secara sihat, sebaik mungkin dan lakukan untuk parti,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit