Kembali Perkukuh UMNO… Tempat Berlindung, Berteduh Orang Melayu Dan Bangsa Lain – Md Alwi

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad menyifatkan UMNO adalah satu-satunya parti yang kekal berprinsip memperjuangkan nasib orang Melayu.

Katanya, UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu yang ditubuhkan atas permuafakan bangsa dan melahirkan perpaduan untuk semua kaum serta menjadi tempat perlindungan dan berteduh.

“Pada asasnya UMNO ini adalah sebuah rumah yang menjadi tempat berlindung dan berteduh bagi orang-orang Melayu tetapi parti ini tidak mengabaikan bangsa-bangsa lain.

“Ada yang keluar dan berpindah, ada yang pergi dengan berbagai alasan tapi rumah itu tetap di situ. Sekiranya tidak ada orang yang singgah atau berteduh, tapi akan ada berhenti mengambil gambar rumah tersebut kerana rumah itu cantik, elok dan sejuk mata memandang.

“Saya hanya sekeping papan daripada banyak papan yang turut bantu membaiki rumah. Mudah-mudahan dengan sekeping papan ini ianya boleh membantu rumah kita yang sedang diperbaiki demi masa depan bangsa,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Alwi yang akan mempertahankan jawatan MKT turut meluahkan harapan agar ahli UMNO dapat mengukuhkan kembali parti ini.

“Saya mengharapkan kita semua mempunyai iltizam dan rasa kasih pada parti supaya sama-sama mengukuhkan parti kita kerana parti ini sedang menghadapi ujian yang sangat besar iaitu dari atas hingga ke bawah dan yang tinggal di dalam parti ini adalah saki baki kepada perjuangan.

“Insya-Allah, perjuangan bukan mengambil masa satu, dua atau lima tahun. Perjuangan adalah sebuah rentetan yang lama. Kena sabar dan mudah-mudahan dapat bina semula supaya UMNO kembali menjadi kukuh seperti dahulu,” ujarnya.

Untuk rekod, pendaftaran bagi Pemilihan UMNO 2023 yang telah bermula sejak seminggu lalu dibuka setiap hari jam 9 pagi sehingga 5 petang sehingga 26 Februari di Auditorium Menara Dato’ Onn.

Pendaftran tersebut bagi mengisi kekosongan jawatan di Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Exco Wanita, Pemuda dan Puteri.

Calon-calon yang ingin mendaftar bagi Pemilihan UMNO 2023 ini boleh memuat turun borang di laman sesawang www.umno-online.my (klik di sini untuk muat turun borang). – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit