Pemilihan UMNO 2023, Tekad Kembalikan Semangat Ahli Dan Sokongan Rakyat – Fakhruddin


KUALA LUMPUR, 20 Feb – Pengerusi Biro Penerangan UMNO Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berpandangan bahawa parti keramat ini memerlukan nafas dan semangat baharu bagi mengembalikan perjuangan yang ampuh.

Menurut beliau, ini kerana amat penting bagi parti untuk mengembalikan semula semangat ahli-ahlinya termasuk keyakinan rakyat terhadap UMNO.

“UMNO adalah maruah orang Melayu. Biar pelbagai ujian mendatang, semangat perjuangan kita takkan pudar. Membujur lalu melintang patah. Patah paruh bertongkat dagu namun daki tetap didaki bersama.

“Tidak ternilai besarnya jasa UMNO pada negara selama ini dan kini sampai masanya UMNO memerlukan nafas baru dan semangat baru untuk mengembalikan semula semangat ahli-ahlinya dan keyakinan rakyat terhadap UMNO termasuk UMNO Pekan yang kita sayangi ini,” katanya.

Beliau yang menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Pekan pada Pemilihan 2023 berkata, sejak ketiadaan Datuk Seri Najib Tun Razak, bahagian tersebut merasai keperitan kerana tokoh tersebut sememangnya mempunyai kekuatan tersendiri kepada mereka.

“Sejak ketiadaan orang yang kita kasihi, Najib Razak dalam kepimpinan UMNO Pekan, banyak onak dan duri, cabaran, rintangan, dugaan serta masalah dihadapi kita semua.

“UMNO Pekan seolah-olah tidak mampu bangkit, tiada hala tuju yang jelas dan tidak bermaya. Anak-anak muda kita juga tiada tempat bergantung nasib justeru kita mahu kembalikan UMNO yang kukuh. Kita perlu ada hala tuju yang akan dapat menjadi tempat untuk mereka menumpang teduh,” ujar beliau.

Mohammad Fakhruddin menambah, berbekalkan pengalaman beliau sebagai wakil rakyat Bebar selama 15 tahun ianya mampu untuk memberikan khidmat terbaik kepada UMNO bahagian berkenaan.

Katanya, meskipun pelbagai cabaran dilalui UMNO terutama semenjak kekalahan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu namun ianya tidak pernah mematahkan semangat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat atas nama perjuangan parti keramat ini.

“Selaku wakil rakyat ADUN Bebar selama tiga penggal dan Exco Kerajaan Pahang selama dua penggal dengan keputusan pilihan raya Bebar yang amat baik sejak tiga penggal lalu, saya yakin sudah tiba masanya untuk saya menabur bakti dan keringat demi membawa perubahan yang lebih baik kepada UMNO Pekan.

“Saya juga melalui sejarah zaman kekalahan UMNO pada PRU14 tahun 2018. Pahit jerih pengalaman selaku wakil rakyat, Exco Kerajaan Negeri dan Ketua Penerangan UMNO Pekan dikala UMNO tidak mempunyai apa-apa kuasa cukup mematangkan saya dan menginsafkan kita semua. Berkat dengan kesabaran dan usaha berterusan, semua ini mampu dihadapi walau dalam apa jua keadaan, rakyat dan negeri terus dijaga baik dan sempurna.

“Insya-Allah, dengan kudrat yang Allah pinjamkan ini dan pengalaman sebelum ini banyak mengajar saya erti istiqomah dalam perjuangan, mengurus UMNO, memahami denyut nadi, keluh kesah orang-orang muda kita dan semua rakyat, penduduk Pekan,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit