Ahli UMNO Matang Buat Pilihan Tepat, Semarakkan Demokrasi Depani Pemilihan – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Demokrasi yang ditunjukkan oleh ahli parti dalam melaksanakan persidangan dan pemilihan UMNO Peringkat Cawangan menunjukkan kematangan sebuah parti penuh pengalaman dan pengetahuan di sebalik pelbagai ujian dan pancaroba yang dihadapi selama ini.

Ketua Penerangan UMNO Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata anasir perpecahan yang cuba disuntik gagal menggoyahkan kemuafakatan ahli parti, sebaliknya kematangan ahli UMNO memahami betapa pentingnya demokrasi.

“Saya yakin dan percaya pertandingan yang bakal berlangsung di peringkat Bahagian dan Pusat juga menyaksikan demokrasi, kematangan dan pertimbangan yang baik daripada ahli-ahli UMNO. Ianya bagi memelihara ahli parti yang akan memilih pemimpin sesuai bagi mendepani arus gelora politik yang tidak menentu dan mencabar masa mendatang.

“Saya tidaklah mengatakan bahawa setiap kali bertanding akan berlaku perpecahan tetapi yakin ahli UMNO sudah menjadi semakin matang dan mempunyai kesedaran yang tinggi untuk memelihara kesepaduan dan perpaduan dalam parti.

“Dalam keadaan politik yang semakin mencabar ternyata bahawa demokrasi dalam UMNO memang tidak pernah terpadam cuma cara hendak mengendali dan menguruskan itu sendiri disesuaikan dengan keadaan,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Beliau yang menawarkan diri bertanding sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menjelaskan parti ini sentiasa mempunyai pelapis yang berketrampilan, berkaliber dan berpendidikan tinggi bagi berdepan pelbagai cabaran masa kini.

“Saya yakin pada pemilihan kali ini terutamanya dari kalangan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan ada ratusan pemimpin pelapis UMNO dari segenap peringkat yang mampu berikan tawaran terbaik pada parti.

“Walaupun ada diantara pemimpin yang merajuk, merasa kecewa dan sebagainya tetapi tetap akan timbul pemimpin-pemimpin muda dan berkredibiliti yang lebih bertanggungjawab. Pemimpin-pemimpin yang mempunyai kebolehan tinggi yang menawarkan diri untuk sebahagian daripada pimpinan UMNO,” jelasnya.

Shaiful seterusnya memaklumkan bahawa matlamat utamanya adalah membawa UMNO membina semula setelah tewas pada pilihan raya lalu.

“Kita perlu bina semula parti, banyak perkara yang perlu dibina semula terutamanya dari segi perpaduan, gerak kerja, pendekatan dan terakhir adalah hala tuju. Semua itu perlu ‘reset’ dan bina semula,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit