UMNO Tidak Pernah Ketandusan Pemimpin, Demokrasi Sentiasa Subur Dalam Parti – Fazly

 KUALA LUMPUR, 19 Feb – UMNO tidak pernah menghadapi masalah ketandusan pemimpin khususnya untuk menerajui kepimpinan parti, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Mohamad Fazly Zainudin.

Katanya, ia juga membuktikan UMNO tidak ketandusan pelapis baharu bagi menyambung legasi perjuangan parti.

“Ini menunjukkan UMNO tidak pernah ketandusan pemimpin terutamanya dari pemimpin muda, belia yang ingin bersama dengan parti. Ianya masih meneruskan kecemerlangannya melahirkan pemimpin yang mampu digilap sebagai pemimpin utama.

“Pada pemilihan kali ini kebanyakan anak-anak muda akan bertanding sebagai Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan bagi yang telah tamat usia Pemuda mereka akan bertanding di Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Insya-Allah, sekiranya diberikan peluang menjawat jawatan MKT, saya akan memberikan ‘nafas baharu’ serta memperkasakan lagi Skuad Sabil Malaysia di samping menggalas tanggungjawab dengan amanah, sempurna dan baik,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Skuad Sabil menjelaskan UMNO telah lama menggunakan demokrasi dan ianya menjadi amalan dalam kalangan ahli.

“Demokrasi UMNO telah lama subur, sentiasa mekar dan sangat baik terutamanya di peringkat cawangan, bahagian mahupun Pusat.

“Seperti contoh, pada pemilihan cawangan baru-baru ini mesyuarat cawangan berjalan dengan lancar dan kehadiran ahli yang cukup ramai dan ini menunjukkan parti ini masih lagi disayangi, disukai oleh rakyat terutamanya golongan muda dan pelbagai peringkat,” jelasnya.

Terdahulu pendaftaran bagi proses Pemilihan UMNO 2023 telah dibuka bermula 13 sehingga 26 Februari 2023 di Auditorium Menara Dato’ Onn bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Exco Wanita, Pemuda dan Puteri.

Sementara itu bagi pemilihan jawatan di peringkat bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri bahagian, pendaftaran juga telah dibuka di Pejabat UMNO Bahagian atau Perhubungan UMNO Negeri. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit