Pemilihan 2023 Bukti UMNO Kekal Relevan Bawa Perjuangan Parti – Hasrunizah


KUALA LUMPUR, 19 Feb – Ketua Wanita UMNO Bahagian Pontian, Hasrunizah Hassan berpandangan Pemilihan 2023 ini membuktikan UMNO masih kekal relevan dalam membawa perjuangan parti.

Menurut beliau, ini kerana pelbagai pihak dalam parti yang menawarkan diri untuk bertanding bagi terus memperkasa parti keramat demi kepentingan rakyat.

“Tak kira apa peringkat pun sama ada Wanita, Pemuda, Puteri dan Cawangan walaupun kita dengar orang cakap UMNO ini tidak relevan kalau betul kenapa pertandingan kali ini lebih hebat berbanding tahun sebelumnya.

“Bermakna UMNO ini sentiasa segar tidak kira ketika UMNO itu berada pada tahap tertinggi atau rendah dalam kerajaan, akar umbi dan rakyat itu faham apa yang UMNO perjuangankan.

“Saya yakin rakyat dan akar umbi dapat membezakan antara UMNO dan parti-parti yang lain,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Beliau yang menawarkan diri sebagai Exco Wanita UMNO Malaysia meluahkan harapan untuk diberikan peluang bersama dengan kepimpinan lain dalam mendepani senario politik semasa yang mencabar berbekalkan pengalaman dimiliki.

“Saya menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Exco Wanita, saya akan cuba bawa pengalaman pernah menjadi Exco Puteri Malaysia dan pada masa yang sama berada dalam UMNO daripada zaman Puteri ke Wanita ketika zaman UMNO yang pada ketika itu orang kata berada dalam keadaan amat teruk.

“Pengalaman ini yang mungkin saya dapat kongsikan bagi membantu membawa UMNo ini untuk terus kekal relevan bersama dengan barisan Exco dan barisan kepimpinan Wanita termasuk Majlis Kerja Tertinggi,” ujar beliau.

Terdahulu pendaftaran bagi proses Pemilihan UMNO 2023 telah dibuka bermula 12 sehingga 26 Februari 2023 di Auditorium Menara Dato’ Onn di sini bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Exco Wanita, Pemuda dan Puteri.

Sementara itu bagi pemilihan jawatan di peringkat ahli jawatankuasa bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian, pendaftaran juga telah dibuka di Pejabat UMNO Bahagian atau Perhubungan UMNO Negeri. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit