Proses Demokrasi UMNO Peluang Untuk Terus Perkasa, Perkukuh Parti – Akmal Saufi

KUALA LUMPUR, 17 Feb- Naib Ketua Pemuda UMNO Johor Bahru, Akmal Saufi Mohamed Khaled berkata proses demokrasi UMNO dalam pemilihan bagi sesi 2023-2026 adalah sangat penting untuk memperkasakan lagi parti.

Jelasnya, peluang yang diberikan oleh parti sangat bermakna kepada ahli UMNO untuk menawarkan diri dalam bertanding agar kelestarian parti dapat diperkasakan.

“Inilah peluang untuk ahli-ahli UMNO ke hadapan dan memikirkan mereka yang layak untuk membantu kepimpinan bagi memperbetul dan memperkasakan parti.

“Ia juga merupakan ‘indication’ daripada ahli-ahli dan mereka yang dipilih itu sama ada berupaya menjadi relevan kepada seluruh ahli yang di luar sana.

“Kita tidak boleh seronok sangat dalam kelompok dalaman tetapi mesti lihat yang di luar sana untuk ‘tangkap’ kembali bagi memberikan sokongan pada parti ini seterusnya pada pilihan raya kelak.” katanya demikian ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Seterusnya kata Akmal Saufi, UMNO adalah sebuah parti yang mengamalkan demokrasi sejak dari dahulu lagi maka sesiapa saja layak bertanding.

“Setiap parti ada caranya tersendiri dan UMNO juga begitu. Apa-apa pun demokrasi dalam UMNO perlu disuburkan dengan membenarkan mereka yang hendak bertanding apabila pentas dibuka dan jawatan yang dipertandingkan maka bertandinglah.

“Kita faham ada suara-suara yang di luar tetapi berikanlah peluang untuk kembali perkukuh parti kerana perlu diakui ini bukannya masa yang pendek mencari ubat penawarnya.

“Masa diperlukan tapi proses demokrasi diangkat apabila pentas dibuka dan kena sertai dengan sebaik-baiknya, perlu ke hadapan bagi mereka yang berpotensi untuk parti,” jelas beliau lagi. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit