Prinsip Keterbukaan UMNO Beri Peluang Ahli Bantu Parti – Naszriah

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Prinsip keterbukaan yang diamalkan oleh UMNO terutamanya semasa musim pemilihan ini memberi peluang kepada semua ahli untuk menawarkan diri mereka khususnya dalam membantu parti.

Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datin Naszriah Ngasri berkata, keterbukaan yang diamalkan parti ini sudah semestinya membuka ruang kepada ahli untuk memikul tanggungjawab berdasarkan kemampuan mereka.

“Prinsip keterbukaan yang diamalkan oleh UMNO membuka peluang kepada semua ahli untuk memikul tanggungjawab berdasarkan kemampuan diri masing-masing.

“Saya yakin bahawa agenda setiap calon yang menawarkan diri sudah semestinya untuk membantu parti dalam usaha pemerkasaan dan bangkit semula,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga dikenali sebagai Anne Ngasri itu turut memaklumkan bahawa beliau menawarkan diri sebagai Exco Wanita UMNO pada musim pemilihan kali ini.

“Saya telah menghantar borang untuk terus bersama-sama membantu UMNO. Pada kali ini, Insya-Allah saya menawarkan diri sebagai Exco Wanita UMNO. Sebelum ini, saya Exco Pergerakan Puteri UMNO dan pada kali ini saya ingin menawarkan diri pula untuk membantu serta mengambil tanggungjawab bersama-sama dengan Wanita UMNO Malaysia.

“Insya-Allah, doakan semoga perjalanan saya sepanjang pemilihan ini berjalan dengan baik, lancar dan semestinya begitu juga dengan parti yang akan mendapat barisan kepimpinan terbaik kali ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau bertekad untuk membantu UMNO bangkit semula dalam meneruskan perjuangan dan menarik lebih ramai anak muda bersama parti.

“Agenda saya hanyalah untuk membantu parti yang disayangi dan didukungi. Insya-Allah saya percaya bahawa UMNO itu sentiasa mengamalkan sikap keterbukaan kepada semua ahli.

“Dalam UMNO, terdapat ahli-ahli yang mempunyai pelbagai kerjaya dan profesion. Insya-Allah, saya hanya ingin membantu parti untuk meneruskan perjuangan dan menarik lebih ramai anak muda bersama kita,” katanya lagi.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari serta akan berakhir pada 26 Februari 2023.

Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit