Ahmad Zahid Yakin RoS Lulus Usul Jawatan Presiden, Timbalan Presiden UMNO Tidak Dipertanding
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau yakin parti itu telah mematuhi segala peraturan mesyuarat yang sudah ditetapkan dan selari dengan perlembagaan parti itu selain penjelasan mengenainya telah dibuat kepada RoS.
“Saya yakin peraturan mesyuarat UMNO, Perlembagaan UMNO telah diikuti sepenuhnya. Terdapat klausa 9.3 dan 9.4 dalam Perlembagaan UMNO yang telah dijelaskan kepada RoS.
“Oleh kerana Perhimpunan Agung UMNO adalah badan tertinggi UMNO, maka keputusan untuk menambah usul yang telah dibentangkan itu telah diteliti juga oleh pihak RoS dan juga oleh kumpulan peguam kami dan juga Setiausaha Agung UMNO,” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya perkembangan terkini isu berkaitan tempoh 60 hari yang diberikan RoS kepada UMNO.
RoS sebelum ini memberikan tempoh 60 hari bermula 20 Jan lepas kepada UMNO untuk mengemukakan maklumat yang diperlukan susulan aduan dua ahli parti itu agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2022.
Aduan berhubung dua jawatan yang tidak dipertandingkan itu dikemukakan oleh ahli UMNO Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom, yang berharap RoS dapat menentukan sekiranya terdapat pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada PAU 2022.
Mengulas mengenai pemilihan parti, Ahmad Zahid berkata parti itu kini sudah mula menerima pencalonan daripada mereka yang berminat untuk bertanding.
“Saya mengambil pendekatan jawatan yang dipertandingkan itu terbuka seluas-luasnya untuk disertai yang berminat. Saya harap garis panduan kempen yang telah dihantar oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Samad hendaklah diikuti sepenuhnya,” katanya.
Ahmad Zahid sebelum itu meluangkan masa kira-kira 15 minit meninjau bilik media yang menempatkan para wartawan bagi membuat liputan sempena persidangan Dewan Rakyat yang bermula semalam. – BERNAMA