Pemuda UMNO Kelantan Sokong Agenda Perkasa Ahli, ‘Terus Bangkit’

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Pemuda UMNO Negeri Kelantan menyambut baik gandingan Datuk Hasmuni Hassan sebagai calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin Mohd Hairi Md Shah sebagai calon Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia susulan pengumuman secara rasmi Jumaat lalu.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor merasa yakin bahawa gandingan mereka berdua dapat meneruskan agenda memperkasakan ahli-ahli pemuda cawangan seluruh negara dengan temanya ‘Terus Bangkit’.

“Yang pasti misi menawan dan ‘Terus Bangkit’ kembali hati pengundi muda menjadi resipi utama dalam manifesto Pemuda UMNO. Ianya bermula pada tahun 2018 dan kami bangkit kembali daripada kekalahan dan pada pemilihan kali ini kami akan terus bangkit dalam meluaskan agenda untuk agama, bangsa dan tanah air.

“Saya menyeru kepada semua perwakilan pemuda seluruh negara untuk memilih kedua pemimpin muda ini dan tentunya tanggungjawab besar menanti gandingan mereka berdua dalam menyiapkan perancangan dan melaksanakan gerak kerja ke arah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dalam jangka masa empat hingga lima tahun mendatang,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Dalam pada itu kata Hariri lagi pengalaman Hasmuni sebagai Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia sebelum ini tentunya lebih arif dan masak dengan kehendak akar umbi pemuda di setiap bahagian.

“Kematangan dan kebijaksanaannya dalam membuat keputusan amat ditagih dalam membawa Pemuda UMNO ke arah lebih baik bukan sekadar meraih populariti sahaja.

“Manakala Mohd Hairi Md Shah pula tentunya dapat berperanan besar jika dipilih sebagai Naib Ketua Pemuda Malaysia dalam meneruskan agenda pemerkasaan anak muda,” katanya lagi.

Ujarnya, pengalaman politik beliau selama lima tahun sebagai Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor dan pengalaman mentadbir dalam kerajaan sebagai Exco Belia dan Sukan Negeri Johor tentunya memberi kelebihan dalam mencorak kanvas politik baharu dalam menarik kembali sokongan anak muda kepada UMNO. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.