UMNO Kelantan Dukung Inisiatif SPRM… Fakta Sebenar Perlu Diperjelas Kepada Rakyat – Zawawi
KOTA BHARU, 5 Feb –Penerangan UMNO Negeri Kelantan sentiasa mendukung inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memastikan negara bebas daripada budaya rasuah dan salah guna kuasa.
Ketuanya, Datuk Zawawi Othman berkata, fakta sebenar harus diperjelaskan kepada rakyat agar mereka tidak keliru dengan skandal rasuah yang semakin berleluasa apabila pimpinan Pas dilihat cuba memutarbelitkan isu ‘sedekah’ semasa pilihan raya.
“SPRM harus menyiasat tetapi Penerangan UMNO juga harus menerangkan pada rakyat apa yang berlaku tetapi biar ada fakta. Gerakan itu sangat penting untuk menjelaskan isu-isu yang berlaku pada masa kini dan kita harus mempertahankan parti ini seterusnya kembali menyerang tomahan serta fitnah yang dilontarkan oleh pihak di sana.
“Dulu mereka menuduh UMNO dengan pelbagai perkataan yang tidak elok. Tetapi sekarang ini siapa yang sebenarnya merasuah? Perlu diterangkan kepada rakyat bagaimana pihak lawan membuat perkara-perkara yang dusta, jijik, rasuah dan sebagainya.
“Rakyat sudah dapat menilai sendiri kalau hendak kata rasuah dan sebagainya… Terpulang. Tetapi mereka boleh menilai tahap pemerintahan UMNO selama 62 tahun berbanding 22 bulan dan 17 bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Taklimat Isu-Isu Semasa di bangunan UMNO negeri Kelantan. Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Malaysia Isham Jalil, Ketua Pemuda UMNO Negeri Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor serta kepimpinan empat peringkat negeri Kelantan.
Tegas Zawawi, rakyat sebenarnya sebenarnya tertanya-tanya dari mana datangnya kewangan yang begitu banyak sedangkan parti itu hanya pernah mentadbir selama 17 bulan.
“Rakyat merasa hairan bagaimana parti yang masih muda ini mempunyai kewangan yang berbilion sedangkan hanya 17 bulan mentadbir negara.
“Malah UMNO yang pernah mentadbir Negara selama 62 tahun tidak mempunyai kewangan yang sebegitu banyak,” katanya lagi.
Sebagai contoh semasa era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak menyembunyikan tender-tender yang berlaku pada zamannya.
“Direct nego yang dilakukan oleh mereka itu membolehkan hasil syarikat tersebut terus ke akaun parti mereka,” katanya lagi.
“Persoalannya di mana tender dibuat? Bagaimana mereka dapat dana dari kontraktor penebatan banjir tapi menafikan malah terdapat tanda tangan disetiap helaian,” – UMNO Online