Penggantungan Keahlian Tidak Jejas Perjalanan UMNO Johor – Mohamed Khaled
JOHOR BAHRU, 4 Feb – Penggantungan keahlian beberapa pemimpin UMNO Johor tidak akan menjejaskan perjalanan pentadbiran parti di negeri berkenaan, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang baharu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata terdapat beberapa pimpinan UMNO negeri itu sebelum ini juga pernah berdepan tindakan sama, termasuk Tan Sri Shahrir Ab Samad dan Muszaidi Makmor yang kini Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi, namun UMNO Johor masih terus bergerak ke hadapan.
Mohamed Khaled bagaimanapun berkata semua pemimpin UMNO negeri itu yang dikenakan tindakan berkenaan, tidak boleh berputus asa kerana mereka masih berpeluang membuat rayuan bagi membolehkan tempoh penggantungan dipendekkan.
Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohamed Khaled juga berkata Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram Datuk Maulizan Bujang, wajar diberi peluang untuk merayu berhubung hukuman penggantungan ke atas mereka.
Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor itu berkata meskipun UMNO Johor akur dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti, namun kedua-dua pemimpin tersebut wajar diberi peluang berikutan sumbangan mereka kepada UMNO Johor.
“UMNO Johor juga turut berbincang dan zahirkan rasa sedih atas apa yang berlaku kepada kedua-dua pemimpin, yang tidak dapat dinafikan banyak berjasa kepada UMNO Johor khususnya, maka kita bersetuju supaya mereka ini wajar diberi ruang merayu atas tindakan yang dikenakan oleh parti ke atas mereka,” katanya.
Pada 27 Jan, MKT UMNO telah menggantung keahlian Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO itu, selain memecat lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang.
Selain itu, Mohamed Khaled turut mengumumkan bahawa veteran UMNO Tan Sri Shahrir Ab Samad, tidak akan mempertahankan jawatan sebagai Ketua Bahagian Johor Bahru dan mengucapkan terima kasih serta menyatakan penghargaan terhadap jasa bekas Ahli Parlimen Johor itu kepada UMNO negeri. – BERNAMA