Semoga UMNO Kembali Raih Kepercayaan Rakyat, Terus Bawa Wadah Perjuangan – Norliza

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim berharap mesyuarat Cawangan pada kali ini membawa maniestasi tersendiri kepada ahli parti terutama akar umbi.

Katanya ini termasuk simbolik dalam meraih kepercayaan rakyat kepada parti keramat ini bagi meneruskan perjuangan yang telah dibawa sejak awal penubuhannya.

“Selamat Bersidang buat seluruh ahli di peringkat Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di seluruh negara.

“Jadikan persidangan dan pemilihan parti kali ini ruang untuk kita perkukuh kedudukan parti terutamanya di peringkat akar umbi.

“Semoga UMNO dapat meraih kembali kepercayaan rakyat dan akan terus menjadi wadah perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air,” katanya yang juga Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang menerusi satu hantaran di Facebook.

Untuk rekod, mesyuarat Cawangan dan pemilihan bagi jawatankuasa Cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri Cawangan akan berlangsung selama 26 hari sehingga 26 Februari ini.

Manakala Mesyuarat perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO juga akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, EXCO Pergerakan Pemuda dan EXCO Pergerakan Puteri UMNO Pusat pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac 2023 (Sabtu). – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit