Mesyuarat Cawangan UMNO Bermula 1 Feb, Sayap Bahagian 11 Mac Dan Bahagian 18 Mac
KUALA LUMPUR, 28 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada malam tadi telah membuat beberapa ketetapan berkenaan tarikh-tarikh untuk diadakan Persidangan Tahunan Cawangan dan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian untuk Tahun 2023 yang melibatkan pemilihan jawatan.
Katanya, Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan ialah pada 1 Februari (Rabu) hingga 26 Februari 2023 (Ahad) iaitu selama 26 hari.
“Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO 27 Januari 2023 (Jumaat) yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan PUteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, EXCO Pergerakan Pemuda dan EXCO Pergerakan Puteri UMNO Pusat akan diadakan serentak di seluruh negard pada 11 Mac 2023 (Sabtu).
“Manakala Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac 2023 (Sabtu),” katanya menerusi satu kenyataan media.
Beliau yang turut memaklumkan tarikh pendaftaran bagi calon-calon untuk pertandingan di Bahagian dan Pusat adalah bermula pada 13 Februari 2023 dan ditutup pada 26 Februari 2023 jam 5.00 petang.
Ahmad juga dalam pada itu memaklumkan Tan Sri Shahrir Ab Samad telah dilantik sebagai Pengerusi JawatankUasa Pemilihan UMNO 2023 (JPU 2023) dan Datuk Mustapha Yaakub dilantik sebagai Setiausaha JPU 2023. – UMNO Online