Tun M Dan Muhyiddin Perlu Muhasabah Diri Daripada Terus Salahkan Individu Lain – Isham

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil meminta bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bermuhasabah diri daripada terus menyalahkan individu lain.

Katanya ini termasuk berterusan meratib nama Datuk Seri Najib Tun Razak dengan rasuah sedangkan rakyat juga mengetahui bahawa Tun Mahathir juga sepatutnya dihukum dengan perbuatan yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Tun, Najib telah masuk penjara kerana pendakwaan terpilih Tun namun Tun masih meratib nama dia. Dia masih naik turun mahkamah untuk membersihkan namanya dari tuduhan-tuduhan Tun.

“… tapi yang patut dan masih belum masuk penjara lagi adalah Tun dan Muhyiddin. Sebab Tun dan Muhyiddin lah besar kemungkinannya adalah penyakau terbesar dalam sejarah Malaysia. Walaupun Tun kata Tun kononnya bersih, tiada orang yang percaya. Muhyiddin pun sama,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Isham juga malah berkata sedangkan Tun Mahathir yang mengajar politik wang sehinggakan ianya menjadi penyakit sistemik di negara ini.

Menurut beliau lagi malah suatu ketika dahulu Tun Mahathir pernah berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah ahli politik paling kaya di Malaysia dan mengiaskan pemimpin itu banyak terlibat dengan rasuah.

“Hakikatnya Tun dan Muhyiddin kedua-duanya sama. Jika Malaysia ingin maju ke hadapan, reform yang perlu dibuat di negara ini adalah membersihkannya daripada sistem politik wang dan rasuah yang Tun bawa dulu. Tun perlu akui perkara ini dan muhasabah diri.

“Tun kata Tun sudah tua, maka buanglah segala kebencian di hati itu supaya Tun dihormati semula seperti semasa Tun awal-awal masuk politik dahulu.

“Jika tidak, kebencian itu yang akan menghitamkan lagi hati dan jiwa Tun sehingga ke akhir hayat. Jika ini penghujungnya, maka pengakhiran ini adalah pengakhiran yang tidak baik. Sejarah akan melihat Tun sebagai seorang pembenci yang busuk hati.

“Namun masih ada masa untuk mengubah. Buanglah yang keruh, ambillah yang jernih. Dan terangkanlah hati dengan solat dan Al-Quran,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit