Soal Perpaduan Dan Segala-Galanya Diperkatakan, Kini Masa Bergerak Ke Depan – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 merupakan perhimpunan parti yang bersejarah.

Kata beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Alor Star, apa jua yang diperkatakan dan apa jua yang dinukilkan oleh pelbagai pihak tentunya para perwakilan telah membuat keputusan demi kepentingan parti itu sendiri.

“PAU yang bersejarah. Apa pun yang diperkatakan perwakilan sudah buat keputusan.  Segala pandangan mengenai prestasi terburuk semua sudah diperkatakan… malah soal perpaduan dan pertandingan juga telah dimuktamadkan. Kini masa untuk bergerak ke depan,” katanya.

Menerusi catatan di Facebooknya, beliau seterusnya menambah kini mandat berkenaan perlu dibawa turun ke bawah untuk diperjelaskan sebaiknya kepada seluruh ahli pelbagai peringkat di akar umbi.

“Masa untuk kita kembali bawa mandat PAU untuk dijelaskan pada ahli dan rakyat. Saya mewarisi zaman dan ketika UMNO lemah…mungkin inilah jalan ditetapkan oleh Allah SWT demi sebuah perjuangan. Tetap kekal setia kerana UMNO adalah sebuah perjuangan,” tambahnya.

Terdahulu, beliau turut mengajak seluruh membina semula UMNO dan melangkah gagah semula dalam mendapatkan keyakinan rakyat.

“Kepada seluruh ahli parti, ayuh kita bina kembali UMNO di persada politik dan pentadbiran negara.

“Buang yang keruh, ambillah yang jernih. Insya-Allah, UMNO akan terus melangkah gagah mendapatkan semula keyakinan majoriti rakyat yang kini hilang,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit