PAU Kali Ini Penentu Survival Politik UMNO… Lihat Semula Dasar Parti, Kukuhkan Strategi

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang berlangsung selama empat hari menentukan survival UMNO sebagai parti orang Melayu dalam keadaan politik yang sangat tidak dijangka dan untuk kembali melihat dasar parti serta memperkukuhkan strategi.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kota Tinggi, Norlizah Noh berkata, kekalahan UMNO/Barisan Nasional (BN) selama dua kali berturut-turut bukanlah disebabkan kerana jentera dan akar umbi yang tidak bekerja.

“PAU kali ini menentukan survival politik UMNO sebagai parti orang Melayu dalam keadaan politik yang sangat tidak terjangkakan. Untuk kita lihat kembali dasar parti, memperkukuh strategi, meletakkan halatuju yang pasti.

“Saya faham ramai dari kalangan kita bersedih. Kita rasa bahawa kita berjaya bangkit dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan selepas kalah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Tujuh PRK dan dua Pilihan Raya Negeri (PRN) berjaya dimenangi oleh UMNO dengan cemerlang. Tapi kita kalah lebih teruk pada PRU ke-15 ini lebih daripada PRU ke-14.

“Bukan kita semua tidak buat kerja, malah dalam siri PRK dan PRN ada yang datang dari jauh untuk sama-sama membantu. Bukan sedikit pula harta dan pendapatan kita yang digunakan untuk jaga UMNO ketika kita tidak punya apa-apa,” katanya ketika berbahas mewakili Pergerakan Puteri UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir Sabtu lalu.

Jelasnya, kekalahan yang berlaku menyebabkan semua ahli parti mencari siapa yang patut disalahkan namun ianya tidak dapat mengubah apa-apa keadaan dan lebih penting, apa tindakan parti itu selepas ini.

“Kekalahan juga menyebabkan kita mencari siapa yang patut disalahkan. Ada yang kata Pemuda salah kerana gagal mendekati Undi 18. Ada yang kata Puteri yang salah kerana gagal gunakan media untuk tarik pengundi. Ada yang kata Wanita yang salah kerana gagal meraih undi.

“Ada yang kata kepimpinan UMNO yang salah kerana menggesa PRU segera. Ada yang kata Perdana Menteri yang salah kerana lewatkan PRU. Ada yang kata calon yang salah kerana tidak diminati pengundi. Ada yang kata Pakatan Harapan (PH) serang macam esok tiada hari dan ada pula kata Perikatan Nasional (PN) guna duit tarik pengundi.

“Jangan kita umpama jatuh ditimpa tangga, mencari segala alasan untuk salahkan orang tanpa kita menyalahkan kita sendiri kerana itu tidak akan mengubah apa-apa keadaan. Lebih utama adalah apa yang perlu kita lakukan selepas ini,” katanya lagi.

Menurut beliau lagi, untuk berubah dan menjadi lebih kuat UMNO perlu mengakui kekalahan disamping tidak selesa kerana dengan kedudukan kerana menjadi kerajaan.

“Untuk kita berubah dan kembali menjadi kuat, kita perlu akui dan jangan pernah menafikan bahawa kita telah kalah dalam PRU ke-15. Benar, UMNO sekarang sebahagian daripada kerajaan. Namun, kita jangan selesa dalam kekalahan kerana menjadi kerajaan. Kita perlu kekal fokus kerana peperangan kita sebagai sebuah parti politik belum tamat.

“Selepas ini, kita ada PRN di enam negeri. Kebijakan politik tidak harus tertumpu kepada dengan siapa kita perlu berkawan dan menambah kekuatan. Tetapi, kita perlu menyelidik apa kelemahan yang kita ada. Supaya kita dapat terus perbaiki kelemahan masing-masing. Kita perlu ingat kita kalah bukan disebabkan lawan kita kuat, Tetapi disebabkan kita semakin lemah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Norlizah turut berharap agar kekuatan parti terus diperkasakan seiring dengan kehebatan UMNO memperoleh kemerdekaan tanpa mengenepikan kaum-kaum lain.

“Kita lemah kerana kita lupa betapa kuat dan hebatnya UMNO dahulu. Parti yang bukan sahaja berjaya mengelakkan penjajah dari terus memperbudakkan tanah ini, tetapi kita berjaya mendapatkan kemerdekaan tanpa meminggirkan kaum-kaum lain.

“Hari ini kita lupa kekuatan itu hingga kita gunakan strategi bekerjasama dengan orang lain sebagai strategi utama parti hingga hari ini kita berbalah dengan siapa patut kita bekerjasama. Hakikatnya, yang perlu kita lakukan adalah bagaimana nak memperkuatkan UMNO. Jangan kita jadi seperti Menang Sorak, Kampung Tergadai,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit