UMNO Umpama Pasukan Bola Sepak, Perlu Ada Semangat Satu Keluarga – Zahida

KUALA LUMPUR, 15 Jan – UMNO umpama sebuah pasukan bola sepak yang sama-sama bertanggungjawab untuk menyerang pertahanan pihak lawan untuk memastikan kemenangan.

Berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2022 semalam, beliau berkata semua pemain perlu bertanggungjawab untuk bekerjasama dalam satu pasukan  dan bukannya saling bentes-membentes antara satu sama lain.

 

“Kita perlu sama-sama jaga parti. Pemimpin dan kita semua perlu jaga parti. Disiplin perlu ada dalam parti. Kita kena ingat UMNO ini parti besar. Nak runtuhkan parti ini ialah dengan menyerang ketuanya. Siapa pun yang jadi pemimpin parti akan diserang lawan.

Team kita kena dukung kapten bukan sama bentes kaki kapten. Dulu Tun Dr Mahathir pernah digelar macam-macam. Pak Lah diserang… selepas itu apa orang tak kata kepada Datuk Seri Najib… seterusnya kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid.

“Parti lawan kita pun sama… pemimpin mereka turut diserang tetapi kalau pengikut mereka cekak bersama mereka menang… kalau kita sama-sama jatuhkan pemimpin kita akhirnya satu pasukan itu kalah,” katanya.

Kata beliau lagi team bola umpama satu keluarga dan perlu dilihat ada persefahaman.

“Kalau team bola sepak kita kucar-kacir tidak mungkin kita boleh kucar-kacirkan pertahanan pihak lawan. Kalau dapat jaringkan gol kita raikan bersama. Begitu jugalah dalam UMNO ini,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit