Seiring Pemantapan UMNO, Ketua Penerangan Sebagai Perwakilan Keputusan Terbaik

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Pasir Gudang, Dahari Hasan amat mengalukan keputusan agar Ketua-Ketua Penerangan UMNO Bahagian dilantik sebagai perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) secara automatik.

Jelasnya, keputusan tersebut amat dinanti-nantikan seiring dengan usaha pemantapan parti dalam menangkis serangan pihak lawan terhadap pimpinan utama parti terutamanya melalui platform media sosial.

“Saya sangat mengalu-alukan keputusan yang dibuat iaitu memberikan peluang kepada semua Ketua-Ketua Penerangan UMNO Bahagian untuk menjadi perwakilan tetap secara automatik.

“Memang ianya dinanti-nantikan kerana pada masa ini kita perlu memantapkan dan memainkan peranan sebagai benteng yang keterhadapan dalam bagaimana kita nak menangkis soal-soal sekarang ini terutamanya dalam dunia digital.

“Contoh, kalau kita tengok pihak lawan menggunakan platform media sosial ini untuk menyerang UMNO/Barisan Nasional (BN) makanya kalau kita tidak memberi peluang kepada Ketua-Ketua Penerangan secara automatik dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ini, saya merasakan bahawa kadang-kadang segala maklumat itu tidak sampai,” katanya kepada UMNO Online semalam.

Mengulas lanjut, Dahari turut berpendapat bahawa keputusan ini dapat memberikan ruang yang lebih luas untuk para Ketua Penerangan Bahagian membawa balik segala maklumat ke peringkat bahagian mahupun cawangan masing-masing.

“Saya setuju seratus peratus kerana ini akan memberikan lebih ruang lebih luas kepada Ketua-Ketua Penerangan untuk membawa balik maklumat di peringkat bahagian dan cawangan masing-masing.

“Kita perlu bersiap sedia kerana sosial media ini bukan sesuatu yang mudah. Kalau kita tengok, perbelanjaan pun besar semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) ataupun Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas bagaimana Perikatan Nasional (PN) memainkan sesuatu diluar jangkaan kita dan akhirnya kemenangan mereka melebihi kita,” katanya lagi.

Perhimpunan Agung Khas UMNO 2022 pada Jumaat mengumumkan dua pindaan Perlembagaan yang berjaya diluluskan melalui sokongan sebulat suara oleh perwakilan.

Dua pindaan itu membabitkan kehadiran Ketua Penerangan sebagai perwakilan automatik pada PAU dan akta lompat parti itu dibentangkan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit