Jangan Bercakaran Antara Satu Sama Lain, Ahli UMNO Perlu Muhasabah – Afif Farhi

KUALA LUMPUR, 15 Jan – UMNO perlu bermuhasabah dengan tidak hanya meletakkan kesalahan kepada seseorang individu susulan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), demikian tegas perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Afif Farhi Othman.

Katanya, ahli UMNO perlu bermuhasabah bagi mengenal pasti punca parti itu mengalami kekalahan berturut-turut sejak dua pilihan raya umum yang lalu.

“Saya bukan mahu lihat ahli UMNO bercakaran antara satu sama lain dan bukan mahu lihat bertelagah sesama kita tapi hendak sama-sama ‘muhasabah’ dan merapatkan ‘ukhwah’ serta sama-sama bangkit semula agar UMNO kembali bermaruah.

“Kita baharu terima kekalahan ujian kali kedua di dalam sejarah perjuangan UMNO dan Allah SWT telah menguji dan menjentik hati-hati kita hendak melihat sejauhmana keyakinan ahli parti terhadap perjuangan ini.

“Berhentilah untuk saling salah menyalahkan antara satu sama lain. Jadikan proses muhasabah ini untuk lihat diri sendiri dan kenapa UMNO kalah pada pilihan raya lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.

Afif yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO menjelaskan kepimpinan tertinggi telah meletakkan ramai pemimpin Pemuda ketika pilihan raya lalu.

“Ini satu proses rejuvenasi yang berlaku di dalam parti. Tidak pernah dalam sejarah perjuangan UMNO meletakkan lebih dari 26 orang calon Pemuda UMNO.

“Ini merupakan satu pengalaman yang cukup penting bagi generasi Pemuda UMNO bangkit kembali meskipun berhadapan dengan kekalahan dan juga sejarah buat Pemuda UMNO,” jelasnya.

Tambah Afif lagi, sebenarnya UMNO mempunyai produk yang cukup bagus berbanding dengan parti-parti lain.

“UMNO mempunyai produk yang sangat bagus tetapi kadang-kadang kena memahaminya kerana produk ini tidak ada di pasaran,” katanya lagi.

Kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bangi lagi, pada pilihan raya lalu terdapat banyak persepsi yang dimainkan oleh pembangkang supaya rakyat mebenci pada UMNO.

“Kita gagal dalam mengurus… persepsi rakyat terhadap UMNO begitu negatif dan sebahagian dari pemimpin-pemimpin dikenakan pertuduhan mahkamah.

“Political persecution’ kena ingat dan menjadi stu elemen negatif dalam pemikiran rakyat.  

“Political marketing’ kita lemah, UMNO kalah dalam media sosial dan ini telah berlaku pada pilihan raya lalu dan sama-sama kita bermuhasabah apakah silap dan salah pada pilihan raya,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit