UMNO Siswa Gesa Percepatkan Proses Rejuvenasi Parti, Laksanakan Sekolah Politik

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Wakil Mahasiswa Mohamad Syarul Amin Ismail berkata UMNO perlu mempercepatkan proses rejuvensinya.

Katanya, UMNO Siswa percaya bahawa perkara itu perlu disegerakan dan menjadi agenda utama dalam mendepani politik bagi tahun mendatang.

Jelasnya, UMNO perlu memberi kepercayaan penuh kepada golongan muda di dalam parti dan tidak boleh membebankan kepada seseorang sahaja.

“Orang muda perlu menjadi enjin penggerak kepada parti khususnya menarik pengundi muda di luar sana.

“Beban untuk melahir kader serta menarik pengundi-pengundi muda ini tak boleh diletakkan di bahu seseorang sahaja, malah sayap Pemuda dan Puteri perlu menjadi barisan hadapan dalam menghadapi perkara ini,” ujarnya lagi ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Tambah Syarul Amin lagi, UMNO Siswa juga mencadangkan agar pendidikan politik diberikan kepada remaja seawal usia peringkat menengah.

“Menyedari akan perkara pentingnya memberikan pendidikan politik, maka kami UMNO Siswa mencadangkan pendidikan politik kepada semua remaja dari usia 15 tahun.

“Kami telah mula merencana, tidak mahu bila musim pilihan raya baru nak buat pendidikan politik kepada mereka. Meluntur buluh biar dari rebungnya, pelajar di sekolah menengah perlu diberi pendedahan politik secukupnya bagi menyediakan mereka untuk menjadi pemilih yang bijak,” sarannya.

Untuk mencapai hasrat itu katanya, UMNO Siswa bersedia melaksanakan program-program di sekolah menengah di seluruh negara.

“Dengan sokongan dan dokongan daripada Pemuda bahagian-bahagian kita akan jelajah di seluruh sekolah.

“Kita juga perlu hidupkan semula sekolah politik UMNO yang sekian lama sudah senyap. Saya percaya jika ia dapat ditangani, insya-Allah belia dan orang muda akan memilih UMNO,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai tren terkini anak muda, UMNO katanya perlu menggunakan ruang media baharu dengan sebaik-baiknya berbanding pihak lawan yang sanggup melabur dengan kos yang besar.

“…kita kurang berminat melabur dalam media-media baharu ini dan tidak mahu bersama dengan ruang lingkup pengundi putih yang kita banggakan. Soalnya, seputih mana pengundi putih ini.

“Media baharu bukan sahaja untuk berkempen pilihan raya tetapi ia juga dapat digunakan medium edukasi UMNO dan Barisan Nasional (BN) terutama golongan remaja dan belia,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit