UMNO Dibina Bukan Untuk Diperalat, Perjuangan Demi Bangsa Dan Negara – Saidi Nanyan

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Jurucakap usul bagi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang mewakili negeri Kedah, Nor Saidi Nanyan menyokong agar pembaharuan parti ini dapat dilaksanakan dengan segera.

Ini kerana katanya, parti ini ditubuhkan demi perjuangan dan memartabatkan sebuah bangsa dan negara.

“UMNO ditubuhkan bukan untuk menjadi batu loncatan seseorang. UMNO tidak dibina untuk diperalatkan tapi wujudnya demi perjuangan sebuah bangsa dan negara. Parti inilah yang memacak gedung tinggi dan menggapai awan menjadi pencakar langit serta menjadi kebanggaan rakyat.

“UMNO memastikan langkah kemajuan dan digalak oleh anak bangsa sendiri. Kitalah tuan peguam menang bicara, kitalah doktor merawat nyawa dan kita juga arkitek mencakar langit. Kita yang membesarkan anak bangsa menjadi dewasa dan ini semua ini legasi perjuangan UMNO.

“Tugas kita tidak habis di sini dan belum selesai lagi. PAU 2022 menjadi saksi UMNO sedang berhenti seketika dipersimpangan untuk bergerak menuju kehadapan dan perlu segerakan pembaharuan serta formula bagi kembali menjadi juara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berbahas pada Perhimpunan Agung UMNO, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Saidi yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Langkawi mengharapkan agar semua ahli UMNO dapat membina semula parti ini agar terus gemilang.

“Kita bina semula bersama dengan lebih jelas dan dilakar dengan kemas agar UMNO gemilang di era emas.

“Kita ‘champion’ ekonomi rakyat dan negara, apabila UMNO mula rebah kita buang naratif lama. UMNO bukan parti ‘flash back’ dan berhenti menjadi ‘play back’ serta bebas dari parti ‘cash back’,” jelasnya.

Nor Saidi turut merayu kepada seluruh kepimpinan tertinggi UMNO agar terus selamatkan parti ini.

“Tolonglah… selamatkan parti ini kerana ianya adalah sebuah perjuangan untuk terus menjadi tempat anak bangsa berpaut dan bernaung,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau beriltizam dan berjanji untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah.

“Kami beriltizam dan berjanji untuk memenangi kerusi DUN pada PRN nanti dan kena lekas bangkit dan sedar kekuatan pemborong kerusi di Parlimen Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Hendak seribu daya… tak hendak seribu dalih dan wajib menang semua kerusi DUN negeri-negeri tersebut.

“UMNO bukannya parti kecil sebaliknya ibarat bahtera ‘gergasi politik’ negara. Kita tidak boleh nafikan kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) sebahagian dimungkirkan oleh ahli yang mereka gunting dalam lipatan, maka kita perbaiki hari ini” tegasnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit