Ketua Penerangan Jadi Perwakilan Automatik Langkah Yang Ditunggu-tunggu

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Pindaan perlembagaan membabitkan kehadiran Ketua Penerangan sebagai perwakilan automatik pada Perhimpunan Agung UMNO dilihat bukan sahaja satu pengiktirafan kepada penjawat jawatan berkenaan, malah memperlihatkan peranan Ketua Penerangan dalam UMNO sangat penting menyalur maklumat.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata pindaan yang berjaya diluluskan semalam termasuklah pindaan berkaitan akta lompat parti di dalam Perlembagaan UMNO adalah demi masa depan parti itu sendiri.

Menurut beliau kehadiran Ketua Penerangan UMNO pada PAU sudah pasti membolehkan masing-masing dapat melihat serta mendengar dengan lebih dekat apa yang ingin disampaikan oleh pucuk pimpinan parti untuk dibawa ke akar umbi.

“Saya mengalu-alukan pindaan perlembagaan ini dan terima kasih kepada pucuk pimpinan serta para perwakilan yang meluluskan pindaan hari ini. Semoga pindaan ini benar-benar memberi manfaat kepada parti nanti,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Perhimpunan Agung Khas UMNO 2022 semalam berjalan lancar dengan dua pindaan Perlembagaan berjaya diluluskan melalui sokongan sebulat suara oleh perwakilan yang hadir.

Dua pindaan itu membabitkan kehadiran Ketua Penerangan sebagai perwakilan automatik pada PAU dan akta lompat parti itu dibentangkan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Tambah beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat, tugas penerangan parti adalah satu tugas yang mencabar dan memerlukan informasi yang mencukupi untuk diperjelaskan kepada akar umbi.

Katanya tergalas di bahu masing-masing apatah lagi untuk menjawab serta memberi penerangan berkaitan sebarang langkah atau sebarang keputusan baharu yang diambil parti.

“Begitu juga langkah yang diambil berkenaan akta lompat parti apabila dimasukkan di dalam Perlembagaan UMNO itu sendiri. Apa yang penting dan apa yang utama kita ingin sama-sama melihat UMNO terus mengorak ke depan dengan sebaiknya,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit