UMNO Sabah Tetap Relevan, Kata Bung Moktar

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Apapun yang berlaku, UMNO Sabah tetap relevan dan berfungsi sebagai sebuah parti yang bermaruah.

Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO yang menyokong kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor bukan atas restu UMNO Sabah yang telahpun sebulat suara menolak kerjasama bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“ADUN UMNO yang membelakangkan keputusan parti ini tidak mempunyai sebarang kedudukan dalam kepimpinan bahagian kecuali seorang berjawatan, Timbalan Ketua Bahagian sementara yang lain hanya anggota biasa dan sebilanganya sudah dikenali sebagai pemimpin yang sering kali bertukar parti dan ini sama sekali tidak menjejaskan kedudukan UMNO Sabah, mereka yang lari lebih rela menyertai kepimpinan kerajaan yang tidak berparti,” katanya.

Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, tidak timbul isu UMNO/Barisan Nasional (BN) cuba menggulingkan kerajaan, ini kerana mengguling dan membentuk kerajaan merupakan dua tindakan yang berbeza.

“Tujuan kita adalah untuk memperbetulkan hala tuju politik agar rakyat dan Sabah menjadi sebuah negeri yang mampu dibangunkan.

“Mengguling ini bermakna dia membinasakan, jadi mesti ada definisi berbeza. Insya-Allah, kita bukan mengguling,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dangan Dunia Putra Kuala Lumpur hari ini.

Bung berkata apa yang dilakukan oleh UMNO Sabah ialah untuk menentukan rakyat Sabah mendapat tempat yang sebenarnya oleh pemerintahan pada ketika ini agar selaras dengan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mengulas lanjut mengenai situasi politik di negeri ini Bung Moktar berkata, walaupun kelihatan tenang, pergolakan masih belum selesai.

“Politik ini tidak pandai selesai walaupun di Sabah sudah tenang tapi pergolakannya masih tidak selesai disebabkan pembentukan kerajaan pada peringkat awal adalah daripada UMNO dengan Perikatan Nasional (PN).

“Dan ini pun menjadi persoalan jadi tidak apa, orang mahu bermain politik kita main politik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai lima ADUN UMNO yang tidak menyokong keputusan parti menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, beliau berkata ia akan ditentukan kelak.

“Ia akan ditentukan oleh parti dan kita tunggu apa yang parti boleh lakukan untuk kelima-lima yang bertindak di luar jangka ini.

“Kita belum (usulkan kepada lembaga disiplin), sebab ada proses-proses tertentu yang perlu kita ikuti,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit