Persidangan Bawa Paradigma Baharu, Perkasa Perpaduan Tawan Kembali Hati Rakyat

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norshida Ibrahim berharap Persidangan Wanita UMNO Malaysia yang berakhir petang semalam membawa paradigma baharu kepada gerak kerja Wanita.

Beliau berkata, segala perbincangan kepada gerak kerja terbaik kepada Wanita perlu dibawa ke bahagian masing-masing dan diterjemahkan bagi memastikan pemahaman kepada ahli UMNO dapat diperincikan dengan sebaiknya.

“Sampaikan segala informasi-informasi yang sedia saya tahu mungkin ada yang menggembirakan, ada yang tidak menyenangkan hati tetapi kita sebagai ahli parti kena menerangkan maklumat persidangan Wanita ini ke bawah supaya pemahaman itu mereka dapat lebih jelas,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat berkata, silaturahim dalam kalangan pendukung tulang belakang parti ini perlu lebih dipererat dalam menempuhi cabaran politik semasa.

“Semoga selepas perhimpunan ini Wanita akan lebih lagi rasa berkasih sayang dalam menempuhi liku-liku yang sangat sukar, ditambah pula dengan kekalahan yang dihadapi kadang-kadang ada pula pihak yang menuding jari kepada Wanita katanya mungkin disebabkan jentera Wanita lemah.

“…tetapi lepas ini kita akan perbaiki, perhalusi dan mengharapkan selepas ini adalah satu gerakan yang lebih baik untuk tambah baik portfolio-porfolio yang ada.

“Wanita ini adalah tulang belakang kepada parti dan kita mengharapkan hala tuju ini jelas ke arah perpaduan dalam kalangan Wanita itu sendiri akan dilihat sebagai contoh di luar sana bagaimana untuk menawan keyakinan rakyat kepada Barisan Nasional (BN),” ujar beliau.

Norshida dalam pada itu berkata fokus Biro Penerangan Wanita pada ketika ini juga untuk mendekati golongan muda bagi memberikan kefahaman kepada mereka berkenaan politik semasa.

“Kita lihat politik khidmat bakti yang mana Wanita sentiasa amalkan namun dilihat tidak diguna pakai lagi.

“Bukan tidak relevan tetapi ianya lebih baik ditumpukan bagaimana hendak memberi penerangan yang jelas kepada pengundi 18 tahun yang mana mereka ini tidak berminat untuk ambil tahu berkenaan parti politik tetapi lebih cenderung melihat bagaimana situasi politik semasa melalui media massa yang disebarkan oleh pihak lawan,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.