PAU Khas Berjalan Lancar, Dua Pindaan Perlembagaan UMNO Berjaya Diluluskan

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Perhimpunan Agung Khas UMNO 2022 hari ini berjalan lancar dengan dua pindaan Perlembagaan berjaya diluluskan melalui sokongan sebulat suara oleh perwakilan yang hadir.

Dua pindaan itu membabitkan kehadiran Ketua Penerangan sebagai perwakilan automatik pada PAU dan akta lompat parti itu dibentangkan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

PAU 2022 yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bermula jam 9.00 pagi itu dimulakan dengan kehadiran kepimpinan tertinggi parti Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan, Datuk Seri Mohamad Hasan serta kepimpinan lain sambil diiringi laungan selawat serta pembawa Al-Quran, keris pusaka Melayu, buku Perlembagaan, Jalur Gemilang serta Sang Saka Bangsa.

Terdahulu simbolik kepada permulaan PAU 2022, kibaran bendera keramat ‘Sang Saka Bangsa’ dilakukan di Plaza Merdeka serta upacara menaikkan bendera UMNO yang diiringi lagu Wanita, seterusnya Pergerakan Pemuda dan diikuti Pergerakan Puteri UMNO yang dilakukan oleh ketua masing-masing.

Persidangan akan bermula kembali pada jam 2.45 petang bagi memberi laluan kepada Solat Jumaat sebelum dimulakan dengan ucapan pencadang dan penyokong dari Negeri Sembilan dan Terengganu.– UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit