PAU 2022 Mewajahkan Masa Depan Parti, UMNO Tidak Pernah Retorik – Ahmad Jazlan
KUALA LUMPUR, 13 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub bersetuju pandangan yang dilontarkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasar Presiden pagi tadi.
Jelas beliau, ianya merangkumi pelbagai isu-isu semasa politik pasca Pilihan Raya Umum (PRU) 15 dan juga mewajahkan masa depan parti.
“Mewajahkan masa depan parti ini adalah sangat penting. Perkara-perkara yang telah lepas inilah yang membentuk satu rangkuman baharu untuk UMNO mewajah semula masa depan.
“Kita akui dalam PRU lepas beberapa faktor tidak dapat dinafikan menjadi salah satu penyumbang utama kekalahan UMNO. Ini seperti yang disebut oleh Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri bahawa sememangnya parti ini ketinggalan ke belakang dalam mengolah pendekatan orang muda dengan media baharu.
“Kita perlu melakukan perubahan segera dan drastik bagi memastikan maklumat terus kepada pengundi baharu. Pengundi baharu ini sentiasa bertambah dari sehari ke sehari apatah lagi enam negeri yang bakal Pilihan Raya Negeri (PRN) dan tidak boleh dipandang ringan, remeh semestinya mesti melakukan perubahan dalam kadar yang segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Seterusnya kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, beliau merasa yakin bahawa UMNO akan kembali bangkit apabila berhadapan dengan PRN.
“Saya sentiasa ada keyakinan bahawa UMNO akan kembali bukan sahaja bangkit tetapi boleh berhadapan dengan PRN ini secara lebih berkesan,” jelas beliau.
Dalam masa yang sama Ketua UMNO Bahagian Machang tidak menafikan bahawa UMNO adalah tempat rakyat bergantung harap.
“UMNO adalah tempat rakyat bergantung dan ianya tidak pernah ‘retorik’.
“Apa yang dijanji dan dibuat hatta sewaktu menjadi pembangkang sekalipun parti ini yang sebenarnya membela kehidupan rakyat. Tapi… perkara ini tidak dapat sampai ke sasaran dan matlamat sebenarnya,” ujarnya – UMNO Online