Hentikanlah Sengketa Dan Bertautlah Kembali, Pesan Puteri UMNO

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Ketua Puteri UMNO Negeri Selangor, Noor Salbiah Puteh mengharapkan agar ahli UMNO kembali bertaut dan perbaiki parti ini.

Jelasnya, kaedah terbaik dalam persengketaan ini adalah menyelesaikan segala permasalahan dengan kadar segera.

“Hentikanlah sengketa kini masa kita bertaut kembali, ruang dan peluang wajib diberi kepada Presiden dan menteri-menteri UMNO untuk memperbaiki kembali parti yang sudah nyawa-nyawa ikan ini.

“Mari kita berfikir dan membantu parti untuk terus pastikan UMNO masih dapat berdiri menjadi payung dan pilihan rakyat.

“Walaupun UMNO pernah tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) sebanyak dua kali akibat penolakan rakyat namun apa yang lebih penting bagaimana kita mahu hidupkan semula kuasa UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas ucapan dasar Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Sementara itu bagi Mahaisiswi Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) Nurul Husna Hasrulnizam menegaskan agar parti UMNO ini membuat rejuvenasi dengan segera serta melibatkan anak muda di peringkat bahagian.

”Rejuvenasi UMNO wajib disegerakan dan inilah perbincangan serta melibatkan
mahasiswa dan anak muda di peringkat bahagian dan perlu lihat keberkesannya.

”Penglibatan golongan muda boleh dijadikan jambatan di antara UMNO dan orang muda. Kita sudah lama peka namun leka untuk bertindak segera. Bukan kami ingin menentang, tetapi rejuvenasi ini penting untuk meneruskan lagi agenda parti kita,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit