UMNO Satu-satunya Parti Jaga Kepentingan, Kebajikan Rakyat – Nor Sabrina

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Penyokong usul ucapan dasar Ketua Puteri UMNO Nor Sabrina Sukardi berkata, lebih tujuh dekad UMNO menapak di negara ini banyak pembangunan telah dicapai.

Jelasnya, ianya selari dengan asas utama pembentukan UMNO iaitu untuk menyatukan rakyat Malaysia.

“Dukungan dan sokongan pucuk pimpinan parti kepada jemaah menteri UMNO akan kita buktikan bahawasanya UMNO adalah satu-satunya parti yang terbukti menjaga kepentingan agama, bangsa dan tanah air serta kebajikan rakyat.

“Kita telah melalui beberapa episod gelombang politik, kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU 14 dan 15) menjadi satu hentaman kuat yang menggegarkan UMNO.

“Parti ini menghadapi hilangnya keyakinan rakyat dan tindakan segelintir daripada ahli parti mengkhianati amanah rakyat dengan menjadi ‘juara lompat jauh’ telah menambahkan lagi luka yang dialami,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berbahas pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO, di WTCKL hari ini.

Beliau yang juga Exco Pergerakan Puteri UMNO merasa sangat sedih apabila UMNO ini dicerca dan terus diperlekehkan.

“UMNO ini dicerca dan dihina dengan pelbagai perumpaan, seolah-olah parti ini tidak pernah berjasa pada negara.

“Mereka yang mencerca UMNO ini bagaikan lupa bahawa parti ini yang meletakkan mereka ini di persada kuasa,” jelas beliau.

Kata Ketua Puteri UMNO Bahagian Libaran ini, semua yang berlaku pada UMNO harus dijadikan sempadan dan tidak boleh merintih berpanjangan.

“Kita perlu bangkit semula menyingsing lengan, rakyat sudah mula menzahirkan penyesalan, melalui mahalnya pengalaman.

“Kerajaan yang diharapkan hanyalah khayalan, bersilih ganti kerajaan kerana kecelaruan bukan rakyat diutamakan sebaliknya ketamakan kuasa dan jawatan,” jelasnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit