Terus Bersatu Dan Kukuhkan Saf Selepas ini, Pesan Asyraf

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi berharap seluruh institusi itu terus bersatu padu selepas ini dalam usaha memastikan bahtera yang akan melayari pelayaran mampu mendepani cabaran berkenaan dan akhirnya terus bangkit terus menjadi wadah perjuangan orang Melayu dan seluruh rakyat.

Beliau yang turut membuat pengumuman tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan UMNO selepas ini berkata sebagai Ketua Pemuda, tanggungjawab perlu dipikul selepas parti tidak mendapat sokongan daripada golongan muda pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Saudara-saudara… selepas PRU yang lalu, saya berkongsi rasa rasa kecewa bukan kerana kalah, tetapi kadang-kadang waktu itu saya terfikir apa silapnya kita ini sehingga Allah SWT mentakdirkan kita sebegitu rupa. Tetapi sepertimana yang kita semua lihat setiap perkara itu ada hikmahnya.

“Sebab itu yang paling penting kita kena ikhlas dan jujur dalam perjuangan… kita jangan cepat menyalahkan orang lain. Kalau nak salah sesiapa tidak akan habis cerita ini. Sebab itu saya daripada awal mengambil pendirian untuk mengambil tanggungjawab secara kolektif… terus terang saya katakan malam keputusan PRU lalu, saya terus ke WTC tingkat 38 bilik presiden. Datuk Seri Ismail Sabri (Ismail Sabri Yaakob) pun ada dan kepimpinan tertinggi lain.

“Saya katakan kepada mereka saya ambil tanggungjawab. Orang muda tidak sokong kita. Sebagai ketua Pemuda saya kena ambil tanggungjawab dan letak jawatan… tetapi saya ingat Perdana Menteri (PM) pun sebut… tunggu dulu Asyraf. Kita semua kena tengok keadaan sebab kita tidak tahu bahtera kita ini boleh gerak ke depan atau sebaliknya. Presiden pun kata tunggulah pemilihan pun tidak lama lagi. Sebab itulah saya mengambil pendekatan untuk bersama-sama mengukuhkan saf dan menghadapinya secara bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Asyraf turut memohon maaf kepada seluruh ahli pergerakan itu sepanjang beliau mengemudi dan menerajui Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

“Saya mohon maaf atas kekhilafan, kesilapan saya, kegagalan saya memimpin anda semua. Saya sudah cuba yang terbaik untuk memastikan kita bangkit kembali. Saya meletakkan sepenuh pengorbanan dan jiwa raga saya kepada Pemuda UMNO selama ini. Paling penting kita kena lihat bagaimana kita nak bangkit semula daripada apa yang berlaku. Sebab itulah saya mengambil keputusan untuk tidak lagi mempertahankan jawatan saya selaku Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

“Saya mengambil tanggungjawab ini untuk kita pastikan bahtera kita akan kembali kuat dan dinakhodai oleh orang baru yang boleh membawa idea-idea yang segar dan baharu. Tetapi satu perkara yang saya minta kepada saudara-saudara… tolonglah… kita adalah pemuda yang sama-sama menyaksikan dan merasai suasah payahnya perjuangan ini. Saya selalu sebutkan kita adalah generasi unik.

“Kita tidak pernah membandingkan kita dengan mana-mana generasi kerana tidak boleh dibandingkan pun. Tidak ada sesiapa pun yang pernah melalui zaman sepertimana kita…zaman menjadi pembangkang 22 bulan, zaman jadi kerajaan campuran, zaman diterajui oleh PM daripada kita dan hari ini kita masih lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan. Ini satu pengalaman yang unik. Ini semua aturan Allah dan paling penting ikhlas dan jujur pada perjuangan,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit