Raikan Perbezaan Pendapat, ‘Reset’ UMNO Bersama-sama – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 12 Jan – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyantuni perbezaan pendapat dalam kalangan ahli parti yang berminat untuk melakukan agenda reset UMNO.
Jelasnya, reset UMNO boleh dilakukan bersama-sama namun tidak seharusnya melayani perbezaan yang akhirnya memecah-belahkan parti itu.
“Kita menyantuni perbezaan pendapat terutama di kalangan mereka yang berminat untuk bersama-sama dengan kepimpinan ataupun melakukan reset kepada parti. Apa yang penting, reset ini boleh kita lakukan bersama-sama dan tidak penting bagi kita melayani perbezaan-perbezaan mutakhirnya mewujudkan kabilah-kabilah.
“Saya mempunyai pendirian dan keyakinan, lebih baik kita bersama-sama untuk melakukan perubahan secara drastik jika ada dengan segera. Itu sebabnya semalam saya menyatakan bahawa esok pada hari Jumaat dalam ucapan dasar, saya akan menggariskan hala tuju baharu UMNO yang menjadi tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), Pilihan Raya Umum (PRU) dan lain-lain gerakan massa.
“Dukungan akar umbi harus didapatkan semula termasuk mereka yang tidak berparti supaya dapat bersama-sama memahami dan akhirnya mendukung serta menyokong UMNO/BN,” katanya ketika ditemui sejurus selepas perasmian pempamer Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di sini.
Sementara itu, Pengerusi BN itu turut menyatakan bahawa beliau memaafkan sepuluh Ahli Parlimen yang terlibat dalam memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) ketika dalam proses pembentukan kerajaan pasca PRU ke-15.
“Peristiwa itu berlaku dalam usaha pembentukan kerajaan ketika itu apabila tidak ada mana-mana parti gabungan yang mempunyai kelayakan melepasi 50 peratus daripada jumlah kerusi Parlimen. Pada ketika itu, ada usaha telah dijalankan untuk sepuluh ahli-ahli parlimen ini menarik balik surat sokongan dengan melakukan revocation of SD, ertinya membuat surat akuan sumpah untuk menarik balik.
“Oleh kerana perkara itu telah berlalu dan kini mereka bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan, saya telah memaafkan apa yang telah berlaku. Tetapi, saya akan terus sama-sama dengan Lembaga Disiplin UMNO, melakukan pemantauan terhadap pendirian yang mereka ada sekarang atau sekiranya mereka melakukan apa-apa gerakan untuk menjatuhkan kerajaan sekarang.
“Tetapi saya yakin mereka akan tetap bersama-sama dengan UMNO/BN dalam mendukung Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang. Saya yakin juga bahawa kesilapan langkah dahulu adalah kerana situasi ketika itu tidak menentu maka pendedahan yang saya buat dalam Majlis Taklimat Presiden itu adalah tertutup,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa pendedahan yang dibuat semasa Taklimat Presiden semalam adalah sebagai pengajaran kepada para perwakilan dan akar umbi.
“Saya berkongsi maklumat tersebut kerana mereka (perwakilan) harus tahu apa yang berlaku di sebalik penubuhan Kerajaan Perpaduan. Kita harus bergerak ke hadapan maka yang terbaik adalah untuk menjadikan peristiwa itu sebagai pengajaran kerana keputusan Majlis Tertinggi dan BN semua gerakan perlulah dilakukan secara berpasukan.
“Oleh kerana kesemuanya 30 ahli Parlimen telah bersama-sama mendukung semula, saya tidak fikir tindakan-tindakan itu dilakukan secara vindictive dan kita hendaklah bergerak ke hadapan untuk melakarkan realiti baharu politik tanah air,” katanya lagi.
Semalam, tular satu poster yang memaparkan lapan pemimpin UMNO kononnya sebagai satu kumpulan yang bakal mencabar kepimpinan Ahmad Zahid pada pemilihan parti nanti.
Poster tersebut menamakan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani sebagai calon Presiden UMNO diikuti bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebagai Timbalan Presiden.
Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pula diletakkan sebagai calon Naib Presiden UMNO sebaris dengan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohammad dan bekas Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. – UMNO Online