Putera UMNO Terus Dekati Golongan Seusia, Pemuda Tetap Bawa Suara Rakyat Dalam Kerajaan

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Putera UMNO akan terus mendekati dan melaksanakan kepelbagaian program yang dekat dengan golongan seusia mereka dalam usaha membantu parti agar mendapat kepercayaan golongan berkenaan.

Wakil Putera UMNO, Muhammad Syazwan Sallehuddin ketika berucap membahaskan usul ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO berkata pelbagai langkah akan diambil kerana undi 18 makin hari tentunya makin bertambah.

“Kita perlu serius dalam menangani ‘depreciation’ parti ini kepada rakyat. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, pengundi berumur 18-25  tahun merupakan ‘first time voters’. PRU-16 esok akan ada penambahan lagi dan ini perlu kita dekati.

“Justeru insya-Allah, Putera UMNO akan melakukan program-program untuk mendekati golongan ini. Saya juga menyeru kepada Ketua Pemuda bahagian yang belum melantik Ketua Putera di bahagian masing-masing untuk melantik seorang wakil bagi menjayakan langkah seterusnya,” katanya.

Sementara itu pembahas daripada Melaka, Fairul Nizam Roslan pula berkata Pemuda tidak harus berdiam diri dan selesa selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan hari ini yang mana UMNO/Barisan Nasional (BN) turut bersama menerajui negara.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan itu, Pemuda UMNO tetap menjadi pendesak untuk rakyat dan akan tetap membawa agenda untuk kepentingan serta keutamaan yang diperlukan oleh seluruh rakyat negara ini.

“Kita tetap menjadi pendesak…terus bawa suara dan terus bawa agenda untuk rakyat. Jangan kita takut kerana kita yakin perjuangan Pemuda ini ikhlas semata-mata untuk rakyat seluruhnya.

“Kalau tidak takkanlah kita di pelbagai peringkat berkorban jiwa dan raga. Pagi petang siang malam subuh senja kita bekerja membantu rakyat. Inilah yang kita perlu pertahankan,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit