Proses Pemulihan Parti Perlu Dilakukan Segera, PRU15 Jadi Iktibar – Noraini

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata proses pemulihan UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu dilakukan mulai sekarang bagi memastikan kedua-duanya kembali bangkit.

Ujarnya, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) wajar dijadikan iktibar untuk menilai kelemahan, memperbaiki dan merancang strategi yang lebih berkesan dan seterusnya kembali bangkit bagi meraih kepercayaan rakyat untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di beberapa negeri kelak.

“Kita perlu bersatu hati dalam usaha membina negara bangsa yang lebih utuh dan mapan, bukannya bertelagah sesama kita.

“Hanya tiga perpuluhan empat (3.4) juta orang sahaja mengundi BN semasa PRU-15. Oleh yang demikian, kita perlu perbanyakkan lagi pendekatan bagi menyantuni golongan pengundi muda, kerana mereka akan menjadi lebih separuh daripada komposisi pengundi keseluruhan pada pilihan raya yang akan datang.

“Kita juga perlu mengambil langkah untuk memperbaiki imej parti supaya lebih diterima rakyat. Politik khidmat sahaja tidak lagi boleh menjamin kemenangan kepada calon yang bertanding,” katanya dalam ucapan dasar Ketua Wanita di Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong turut mengulas Wanita memerlukan tekad untuk melangkah ke hadapan dengan lima pembaharuan penting mesti segera dilaksanakan.

“Yang pertama, pembersihan dalaman parti harus dilakukan secara total tanpa kompromi. Kedua, gerakan yang berstrategi harus diterapkan kepada Wanita dengan memberi didikan dan kefahaman politik yang matang, maka UMNO wajib segerakan penubuhan Akademi Kepimpinan Wanita.

“Ketiga, penguasaan media sosial kita perlu lebih ‘visible’, ‘effective’ dan ‘prominent’ melalui penubuhan Unit Media Digital di setiap bahagian.

“Keempat, Skuad Sayang perlu dilihat lebih jelas sebagai agen penghubung kepada masyarakat dengan mewujudkan agenda kesukarelawanan. Dan yang kelima, peranan dan gerak kerja Jalinan Rakyat (JR) diperkemas seiring dengan perkembangan teknologi dan budaya setempat dan semasa,” katanya.

Berhubung dengan PRN bagi enam negeri berbaki seperti Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan, Noraini berpesan kepada Wanita agar bersedia menghadapinya.

“Segala perkiraan, strategi, telahan dan ikhtiar yang kita rencanakan di dalam perhimpunan ini mungkin tidak sempat dilaksanakan dengan secukupnya menjelang PRN nanti.

“Sama ada berlaku serentak di keenam-enam negeri atau berasingan masih lagi menjadi teka-teki, sama ada dipanggil dalam beberapa minggu atau sehingga bulan Mei masih lagi menjadi satu persoalan.

“Walau apapun, kita tidak boleh sesekali alpa atau menyerah kalah. Kesiapsiagaan kita perlu sentiasa di tahap yang tertinggi. Kita harus bersatu hati menerima keputusan kepimpinan dalam merancang strategi kerjasama politik antara parti dan istiqamah dalam perjuangan,” katanya.

Dalam ucapannya, Noraini juga berpandangan berdasarkan kepada apa yang sedang berlaku di dalam parti dan situasi politik semasa, sudah tiba masanya untuk semua bersama-sama dengan kepimpinan yang ada.

“Bangkit bersama memulihkan kekuatan parti dan keyakinan rakyat. Membawa UMNO kembali ke landasan perjuangan yang hakiki.

“Justeru, adalah lebih elok supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. Berikanlah mereka ruang dan sokongan untuk memulih dan memperkasakan UMNO, demi survival politik parti dan negara,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit