PAU 2022: Ucapan Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad Ketua Wanita UMNO

BismillahirRahmanirRahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Perjuangan.

SALUTASI:
Yang Berbahagia Dato’ Saripah Aminah Syed Mohamad,
Pengerusi Tetap Wanita UMNO Malaysia;
Yang Berhormat Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan,
Setiausaha Agung UMNO Malaysia;
Yang Berbahagia Dato’ Dr. Azizah Johor,
Timbalan Pengerusi Tetap Wanita UMNO Malaysia;
Yang Berbahagia Datuk Norliza binti Abdul Rahim,
Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia;
Yang Berhormat Datuk Rosni Sohar,
Setiausaha Wanita UMNO Malaysia;
Barisan Pegawai-Pegawai, Exco-Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia,
Wakil-Wakil Ahli Majlis Kerja Tertinggi ke Perhimpunan Agung Wanita UMNO,
Yang Berhormat Dato’ Seri Azalina Othman;
Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah; Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsudin;

Para perwakilan yang saya kasihi sekalian,
Tidak dilupakan, saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran Ketua Wanita MCA Kebangsaan, Ketua Wanita PBRS dan Ketua-ketua Friends of BN dari KIMMA (friends of UMNO), IPF dan Makkal Sakti.
Puan Wong You Fong;
Ketua Wanita MCA Kebangsaan;
Puan Zainon Kayum Khan;
Ketua Wanita PBRS;
Puan Mumtaz Mohd Ismail;
Ketua Wanita KIMMA;
Puan T.Kumutah;
Ketua Wanita Makkal Sakti Negeri Sembilan; mewakili Ketua Wanita Makkal Sakti;
Terima kasih semua, atas kesudian meluangkan masa untuk bersama-sama kami pagi ini. Kami Wanita UMNO amat menghargainya.
Dan seterusnya, tuan-tuan dan puan-puan, yang tidak dapat saya sebutkan namanya satu persatu di sini, namun percayalah, itu tidak mengurangkan hormat saya dan persaudaraan kita bersama, begitu juga dengan wakil-wakil media, serta hadirin yang saya hormati sekalian.
Terlebih dahulu, seperti saban tahun, bagi pihak kepimpinan Wanita UMNO Malaysia, saya mengalu-alukan kehadiran 1117 perwakilan Wanita dari 191 bahagian, yang mewakili 20,370

cawangan Wanita UMNO di Dewan ini, yang mewakili suara, dari sekecil-kecil jawatan di peringkat akar umbi – bermula dari Cawangan, Bahagian, hingga ke Negeri seterusnya kepimpinan Pusat dari seluruh pelosok tanah air.

PENDAHULUAN
Sidang perwakilan yang saya kasihi sekalian,
1. Saya ingin mulai ucapan dasar pada hari ini dengan mengimbau apa yang telah sama-sama kita lalui pada 54 hari yang lalu, kita semua tengah sibuk dekat kawasan masing- masing. Masa tu adalah sehari sebelum tarikh mengundi, iaitu hari terakhir kita semua keluar berkempen. Ada sesetengah daripada kita, awal-awal pagi lagi sudah keluar rumah, ada yang naik kereta, ada yang naik motor, ada yang naik basikal, ada yang naik perahu, kita keluar merayu undi dan cuba untuk memujuk pengundi putih kita untuk keluar mengundi. Saya masih ingat, kita sama-sama keluar dengan semangat penuh membara dengan harapan yang besar menggunung, agar kemenangan menjadi milik Barisan Nasional.

2. Malamnya pula, makan tak kenyang, mandi tak basah tidur tak lena, kita memikirkan gerak kerja JR dan bagaimana nak memastikan pengundi keluar mengundi esoknya.

3. Kita semua hanya fikirkan bagaimana untuk menangkan parti, hinggakan keluarga dan rumahtangga pun dah jadi nombor dua ketika itu. Demi parti ini, jiwa dan raga kita serahkan, dan kita buat sehabis baik untuk memenangkan parti kita pada hari pilihanraya (D-Day).

4. Namun begitu, pada 19hb November, keputusan PRU15 ibarat kaca jatuh terhempas. Apa yang kita harapkan tidak menjadi kenyataan. Ibarat pantun;
Buah berangan masaknya merah; Pisang emas dalam perahu;
Luka di tangan Nampak berdarah; Luka di hati siapa yang tahu.

5. Bagi saya, Wanita UMNO telah memberi yang sehabis baik. Namun kemenangan bukan milik kita. Kekalahan yang kita lalui adalah amat memilukan. Ramai di antara kita yang masih dalam kesedihan, kekecewaan dan ada juga yang masih tidak dapat menerima kekalahan ini.

Sidang perwakilan yang dikasihi,

6. Seperti kata pepatah Melayu, “Tidak ada gunung yang tidak dapat didaki, tidak ada lurah yang tidak dapat dituruni.”

7. Walau masih sedih, walau masih kecewa, walau masih berduka, namun pada hari ini, kita kuatkan semangat kita, berkumpul di sini, kita satukan hati kita, membina kekuatan untuk kita berdiri semula, bangkit membawa wadah perjuangan bangsa.

8. Perhimpunan Agung Wanita UMNO tahun 2022 ini merupakan perhimpunan kita yang sangat berbeza daripada perhimpunan-perhimpunan yang pernah kita lalui selama ini. Kita berhimpun dalam keadaan dan suasana yang bercampur- campur. Ada perasaan marah, kecewa dan lebih perit lagi, sakit Dikhianati, namun masih ada sisa-sisa kesetiaan yang menebal dalam setiap jiwa perwakilan, hingga kita masih mampu bersama-sama di dalam Dewan ini.

Para perwakilan yang dikasihi sekalian,
9. Suka atau tidak, kita harus menerima hakikat bahawa kita hanya menang 30 kerusi sahaja di Dewan Rakyat. Ini merupakan pencapaian terburuk dalam sejarah kita.

10. Kita perlu terima hakikat bahawa, rakyat tidak lagi melihat UMNO dan Barisan Nasional sebagai satu wadah atau favourite party yang perlu diberikan mandat dan sokongan untuk memimpin negara kita.

11. Kita juga kena sedar bahawa, kita bukan sahaja telah gagal meraih sokongan rakyat, tetapi kita seolah-olah tidak lagi dilihat sebagai parti yang memperjuangkan nasib orang-orang Melayu.

12. Realiti ini amat sukar untuk saya lafazkan tetapi inilah hakikat yang kita perlu sedar, terima dan insafi. Hakikat ini memang pahit untuk kita telan.

13. Kita tidak boleh lagi tenggelam dengan nostalgia lama. Politik khidmat kita tidak lagi mampu memenangi hati dan sokongan rakyat.

14. Walaupun kita sering berkata orang UMNO lah yang banyak berjasa dan membantu rakyat, tetapi kita tetap ditolak dalam PRU15 yang lalu.

15. Meskipun UMNO telah banyak berjasa, ia bukan tiket atau jaminan UMNO ini akan kekal relevan. Banyak perkara yang perlu dilihat.

16. Impak UNDI18 dan pendaftaran automatik juga penting. Rata-rata mereka tidak terikat dengan mana-mana parti politik. Faktor parti tidak mempengaruhi keputusan mereka untuk membuat pilihan dalam PRU.

17. Kumpulan ini harus ditangani dengan bijaksana oleh UMNO. Pendidikan politik harus dijuarai oleh UMNO dan parti perlu melihat perkara ini sebagai satu agenda jangka masa panjang demi kebaikan UMNO.

18. Apa yang penting, saya tahu Wanita UMNO di semua peringkat telah berjuang bermatian-matian, berkorban segalanya, dengan penuh tekad, semangat, dan kudrat yang ada, demi memenangkan parti.

19. Justeru, sebagai penghargaan kepada semua, baik yang di dalam dewan mahupun di luar sana, termasuk juga yang menyaksikan perhimpunan ini secara maya, marilah kita beri tepukan penghargaan kepada semua Wanita UMNO!

PASCA PRU15
Rakan-rakan seperjuangan sekalian,
20. Dinamika politik negara selepas PRU15 nampaknya tidak jauh berbeza dengan keadaan sebelum ini. Keputusan PRU15 menyaksikan tiada mana-mana parti dari kelompok yang menang berjaya membentuk kerajaan secara bersendirian.

21. Walaubagaimanapun, keputusan PRU15 juga menyaksikan, tiada parti politik yang berjaya mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung, demi mengukuhkan
kestabilan politik negara, maka, Barisan Nasional akur, untuk terlibat sama dalam menubuhkan sebuah Kerajaan di peringkat Persekutuan, yang disebut sebagai Kerajaan Perpaduan.

22. Meskipun UMNO/BN menjadi sebahagian daripada kerajaan, UMNO khususnya perlu kekal mendasari intipati perjuangannya tetapi dengan strategi dan pendekatan yang berbeza.

23. Sudah tentu kedudukan UMNO dalam kerajaan perlu dijelaskan kepada akar umbi.

24. Dalam hubungan ini, setinggi-tinggi syabas diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Presiden UMNO, atas pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Dan Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan, Timbalan Presiden UMNO, yang turut dilantik sebagai Menteri Pertahanan.

25. Dan, tahniah kepada semua yang telah dilantik menganggotai Barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan. Semoga dapat menjalankan amanah dengan cemerlang.

26. Syabas juga dizahirkan kepada dua (2) orang Ahli Dewan Rakyat Wanita, iaitu:
Yang Berhormat Dato’ Seri Azalina Othman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi); dan
Yang Berhormat Datuk Siti Aminah Aching, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi.

27. Selain daripada itu, tahniah juga diucapkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Wanita:
Yang Berhormat Datuk Sabariah Saidan, ADUN Guai, Exco Kerajaan Negeri Pahang;
Yang Berhormat Salbiah binti Mohamed, ADUN Temengor, Exco Kerajaan Negeri Perak;
dan,
Yang Berhormat Salina binti Samsudin, ADUN Behrang;

28. Kepada YB semua, teruskan semarak obor perjuangan untuk Agama, Bangsa dan Negara!

29. Ini adalah masa untuk kita bangkit bersama.

MOVING FORWARD – MARA MELANGKAH
Sahabat perwakilan yang saya kasihi,
30. Semalam, YAB Presiden dan YB Timbalan Presiden telah menyentuh bahawa kekalahan kita adalah berpunca daripada faktor luaran dan dalaman. Dari luar, kita kalah akibat permainan persepsi yang amat-amat dahsyat didorong oleh sumber kewangan yang wallahi tidak dijangka seperti yang telah diviralkan.

31. Dari dalam pula, kita kalah akibat sebahagian daripada kita yang tidak pernah berhenti menembak kaki sendiri.

32. Kekurangan ini menginsafkan kita bahawa Wanita memerlukan tekad untuk melangkah ke hadapan. LIMA pembaharuan penting mesti segera dilaksanakan.

33. Yang pertama, pembersihan dalaman parti harus dilakukan secara total tanpa kompromi.

34. Kedua, gerakan yang berstrategi harus diterapkan kepada Wanita dengan memberi didikan dan kefahaman politik yang matang, maka UMNO wajib segerakan penubuhan Akademi Kepimpinan Wanita.

35. Ketiga, penguasaan media sosial kita perlu lebih visible, effective dan ‘prominent’ melalui penubuhan Unit Media Digital di setiap bahagian.

36. Keempat, Skuad Sayang perlu dilihat lebih jelas sebagai agen penghubung kepada masyarakat dengan mewujudkan agenda kesukarelawanan.

37. Dan yang kelima, peranan dan gerak kerja JR diperkemas seiring dengan perkembangan teknologi dan budaya setempat dan semasa.

38. Selain dari kelima-lima tadi, untuk kita come back stronger, kembali bangkit dan pulih, kita perlu revamp pendekatan, gerak kerja dan pelan tindakan kita, untuk memastikan keberkesanan serta kesesuaiannya dengan perubahan zaman.

PERPADUAN, KETAATAN DAN KESETIAAN KUNCI KEJAYAAN
Para Perwakilan yang saya kasihi,
39. Perpaduan ialah kunci kemenangan. Islam mendidik umatnya agar sentiasa berpadu dan bersepakat.

40. Kisah Perang Uhud boleh kita jadikan ibrah. Sebelum tercetusnya perang, Rasulullah telah memberikan arahan yang jelas supaya lima puluh (50) orang pemanah tidak sesekali meninggalkan kawasan puncak Bukit Uhud.

41. Kumpulan pemanah yang dipimpin Abdullah bin Jubair itu ialah ‘senjata rahsia’ yang digarap Rasulullah SAW dalam usaha menggempur kekuatan pasukan musuh.

42. Senjata rahsia itu pada peringkat awalnya menunjukkan keberkesanan yang jitu.

43. Bagaimanapun, akibat kecuaian dan ingkar pada pesanan Rasulullah, empat puluh (40) orang daripada kumpulan pemanah telah turun ke kawasan lembah bukit bagi merebut harta tinggalan tentera musuh. Ini seterusnya menjadi antara punca kepada kekalahan tentera Islam ketika itu.

44. Peristiwa ini wajar kita jadikan pengajaran. Seampuh mana pun strategi yang diatur, kepatuhan dan kesetiaan kepada ketua di saat kita berperang sangat penting. Kita hanya perlu satu nakhoda melayarkan bahtera.

45. Justeru, dalam konteks masa kini, demi perpaduan dan kestabilan Parti, ahli Parti perlu sentiasa PATUH, TAAT dan SETIA kepada kepimpinan.

46. Sesungguhnya, Wanita amat menghargai kesetiaan kerana kesetiaan itu adalah kekayaan jiwa yang tiada taranya.

47. Ikrar Wanita UMNO, seperti disulam dalam pantun Melayu:
Kain semutar bercorak rumi,
Merah bata warna dipersembah,
Sekalipun halilintar membelah bumi,
Kesetiaan Wanita kepada Parti, takkan berubah!

KEBANGKITAN UMNO
Sahabat-sahabat Perwakilan sekalian,
48. Proses pemulihan UMNO dan BN perlu dilakukan mulai sekarang, minit ini, saat ini dan ketika ini, bagi memastikan kedua-duanya kembali bangkit.

49. Keputusan PRU-15 wajar kita jadikan iktibar untuk menilai kelemahan, memperbaiki dan merancang strategi yang lebih berkesan, seterusnya kembali bangkit bagi meraih kepercayaan rakyat untuk menghadapi PRN di beberapa negeri kelak.

50. Kita perlu bersatu hati dalam usaha membina negara bangsa yang lebih utuh dan mapan, bukannya bertelagah sesama kita.

51. Hanya tiga perpuluhan empat (3.4) juta orang sahaja mengundi Barisan Nasional semasa PRU-15. Oleh yang demikian, kita perlu perbanyakkan lagi pendekatan bagi menyantuni golongan pengundi muda, kerana mereka akan menjadi lebih separuh daripada komposisi pengundi keseluruhan pada pilihanraya yang akan datang.

52. Kita juga perlu mengambil langkah untuk memperbaiki imej parti supaya lebih diterima rakyat. Politik khidmat sahaja tidak lagi boleh menjamin kemenangan kepada calon yang bertanding.

PRN 6 Negeri
Sidang perwakilan sekalian,
53. Kita faham kita masih lagi penat, lenguh kaki ini masih lagi terasa. Tapi pilihan raya di 6 negeri sudah semakin hampir dan ianya akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Suka atau pun tidak, kita semua kena tetap bersedia untuk memastikan kemenangan parti kita. YAB Presiden pun sudah membuat keputusan untuk menggunakan logo dacing pada PRN yang akan datang.

54. Segala perkiraan, strategi, telahan dan ikhtiar yang kita rencanakan di dalam perhimpunan ini mungkin tidak sempat dilaksanakan dengan secukupnya menjelang PRN nanti.

55. Sama ada berlaku serentak di keenam-enam negeri atau berasingan masih lagi menjadi teka-teki, sama ada dipanggil dalam beberapa minggu atau sehingga bulan Mei masih lagi menjadi satu persoalan.

56. Walau apapun, kita tidak boleh sesekali alpa atau menyerah kalah. Kesiapsiagaan kita perlu sentiasa di tahap yang tertinggi.

57. Kita harus bersatu hati menerima keputusan kepimpinan dalam merancang strategi kerjasama politik antara parti dan istiqamah dalam perjuangan.

Sidang perwakilan Wanita yang saya sayangi,
58. Melihat kepada apa yang sedang berlaku di dalam parti ini dan situasi politik semasa, sudah tiba masanya untuk kita bersama-sama dengan kepimpinan yang ada, bangkit bersama memulihkan kekuatan parti dan keyakinan rakyat. Membawa UMNO kembali ke landasan perjuangan yang hakiki.

59. Justeru, adalah lebih elok supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. Berikanlah mereka ruang dan sokongan untuk memulih dan memperkasakan UMNO, demi survival politik parti dan negara.

PENUTUP
Sahabat-sahabat Perwakilan yang saya kasihi,
60. Insafilah, menang atau kalah, itu lumrah perjuangan. Adat orang berjuang – biarpun kita kalah, tetapi jangan sesekali kita mengalah, apatah lagi mudah menyerah, hatta tergamak berpaling tadah.

61. Bagai dititip oleh tokoh pejuang wanita nusantara Raden Adjeng Kartini:
“Jangan pernah menyerah jika kita masih ingin mencuba. Jangan biarkan penyesalan datang kerana kita selangkah lagi untuk menang.”

62. Dalam keadaan sekarang, amat mudah untuk kita semua dirundung sedih dan kecewa yang berpanjangan. Itu fitrah kerana kita benar-benar sayangkan parti. Tiada siapa boleh halang. Namun kita perlu mengingati kembali iktikad asal mengapa kita berada di dalam parti ini.

63. Saya percaya setiap seorang daripada kita semua ada iktikad yang tersendiri mengapa kita membawa obor perjuangan parti.
64. Iktikad inilah yang membulatkan tekad kita semua untuk terus cekal mengibarkan bendera parti, untuk menyanyikan lagu UMNO saban minggu, untuk terus berdepan tohmahan dan cacian tanpa rasa jemu, tanpa jerih, tanpa lelah.

65. Wahai perwakilan semua, marilah kita bersama-sama meneroka kembali jiwa dan hati kita, dan mencari kembali iktikad ini, dan menjelmakannya semula sebagai semangat yang segar dan baharu.

66. Kita perlu menguatkan pegangan kita pada iktikad ini. Kita perlu kuatkan kembali keyakinan bahawa iktikad inilah yang kita percaya sebagai nilai asas yang membentuk Negara yang kita sayangi.

67. Kekalahan ini amat perit, tetapi tidak cukup untuk melunturkan semangat perjuangan kita.

68. Kekalahan ini amat mengecewakan, tetapi tak akan sesekali menghilangkan kepercayaan kita bahawa hanya UMNO dan BARISAN NASIONAL adalah jalan terbaik untuk Agama Bangsa dan Negara kita.

69. Kita tidak akan sesekali berputus asa dalam perjuangan. Kita tidak akan sesekali mengabaikan prinsip kita.

70. Dan yang penting,.. kita tidak akan sesekali mengabaikan Bendera ini.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakuh.

Sekian, selamat bersidang! Terima kasih.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit