PAU 2022: Isham Jalil Rai Ketua-ketua Penerangan UMNO Negeri Dan Bahagian

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil mengambil peluang mengadakan perjumpaan bersama Ketua-ketua Penerangan UMNO Negeri dan Bahagian seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur di sini.

Perjumpaan secara tertutup itu dilakukan dengan santai telah dihadiri Ketua Penerangan UMNO Negeri dan Bahagian yang merupakan tunjang hadapan kepada komunikasi pemimpin dan akar umbi.

Dalam pertemuan tersebut, Isham mengucapkan tahniah serta mengalu-alukan kehadiran mereka ke PAU sebagai pemerhati buat pertama kalinya dalam sejarah di samping berkongsi mengenai isu-isu semasa yang perlu diberikan lebih perhatian.

PAU telah memasuki hari kedua dan semalam telah pun berlangsung upacara Perasmian serentak Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, diikuti persidangan penuh ketiga-tiga sayap pada hari ini.

PAU akan membuka tirai esok dengan upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa di Plaza Merdeka diikuti ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan PAU Khas bagi usul Pindaan Perlembagaan pada jam 11.00 pagi di Dewan Merdeka.

Terdahulu PAU 2022 sebelum ini dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember bagaimanapun ditangguhkan kerana bertembung dengan cuti persekolahan.

Penganjuran kali ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila menyaksikan kehadiran ketua penerangan bahagian dan sayap selaku pemerhati khas.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ini kerana, ketua penerangan memainkan peranan penting di bahagian masing-masing dalam memberikan penjelasan di peringkat akar umbi berkenaan persidangan PAU. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit