Mainan Persepsi, Sentimen Sebelum Pengundian Tenggelamkan Politik Khidmat Bakti

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Wakil Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berpandangan politik khidmat bakti yang menjadi teras kepada parti itu tidak lagi menjamin pola pengundi terhadap parti berkenaan.

Sebaliknya beliau berkata sentimen dan mainan persepsi dua minggu menjelang hari pengundian akan menjadi pertimbangan oleh rakyat khususnya kalangan pengundi untuk membuat pilihan yang mana akan dipilih.

“Walaupun mereka (parti lain) hanya bekerja dua minggu sebelum PRU menerusi Tik Tok, Instagram dan sebagainya, namun kita yang bekerja hampir siang dan malam sepanjang lima tahun… menjadi sebaliknya.

“UMNO DNA politik khidmat bakti… kalau tidak ada program ianya jadi macam gatal-gatal. Tidak boleh nak bantu orang… jadi macam aku bukan budak UMNO… nak tolong orang tetapi hakikatnya pada hari ini bukan Wilayah Persekutuan sahaja ranap tetapi 74 kerusi Parlimen dimenangi oleh pihak satu lagi. Negeri-negeri selamat pun akhirnya tumbang.

“Contohnya kalau kita tengok di Kedah, Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Rahim apa yang tidak buat dan berikan kepada penduduk di kawasan berkenaan. Ranap juga. Tok Det (Datuk Seri Mahdzir Khalid) ranap… Ku Nan (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) di Putrajaya ranap… kita semua ranap. Kita kena akui soal ini,” katanya.

Kata beliau program bantu rakyat sentiasa dijalankan dan dilaksanakan oleh pimpinan bahagian seluruh negara apatah lagi pada waktu atau musim dilanda musibah.

“Kalau masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dulu saya rasa semua bahagian bantu rakyat… akhirnya rakyat tolak kita mentah-mentah… pasal apa… maksudnya di sini politik khidmat bakti itu tidak menjamin orang undi kita tetapi sentimen pengundian dua minggu terakhir sangat penting,” ujarnya.

Kata beliau lagi permasalahan di dalam UMNO juga menjadi perkara yang perlu diakui dengan masing-masing dengan sikap melabel antara satu sama lain dan itu menjadi tumpuan dan perhatian rakyat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit