Dr Asyraf Tegaskan UMNO Mesti Berani Beradaptasi Mengikut Iklim Politik Semasa

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Bagi melestarikan perjuangan parti, UMNO mesti berani beradaptasi mengikut iklim politik semasa, kata Ketua Pemudanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ujarnya, UMNO mesti bersedia mengubah strategi dan pendekatan untuk memikat hati dan minda pengundi tanpa meleburkan prinsip perjuangan agama dan bangsa.

“UMNO tidak boleh lagi berasa gah dengan jumlah lebih 3.4 juta ahli dengan jaringan Bahagian dan Cawangan yang mengakar di hampir setiap kampung dan desa. Sedangkan jumlah ahli yang ramai sahaja tidak menjamin kemenangan dalam pilihan raya.

“UMNO tidak boleh lagi berasa bangga dengan kekuatan jentera parti yang masih menggunakan pendekatan tradisional. Sedangkan musuh yang jauh lebih kecil jenteranya, mampu menewaskan kita dengan memanfaatkan teknologi komunikasi semaksimumnya,” jelasnya lagi.

Dr Asyraf berkata demikian dalam Ucapan Dasar Ketua Pemuda di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini pagi tadi.

Tambahnya, UMNO perlu terbuka untuk memahami pola pemikiran rakyat jelata hari ini dan mesti sedar bahawa perubahan kehendak rakyat adalah terlalu pantas seiring dengan kepantasan teknologi masa kini.

Ulasnya juga, walaupun terpukul dengan keputusan PIlihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), timbul beberapa persoalan yang masih belum terungkai.

“Apakah politik khidmat bakti yang kita pelopori selama ini masih lagi relevan? Apakah politik ini hanya cukup bermain dengan sentimen dan isuisu nasional bagi meraih sokongan?

“Atau apakah kita rela menggadaikan prinsip moral dan agama dengan mengambil jalan mudah untuk menyogok undi, lantaran kecewa dengan fenomena hujan sehari yang memadamkan panas setahun?” soalnya.

Seterusnya ulas Dr Asyraf lagi, Pemuda UMNO mendesak agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera mengambil tindakan terhadap semua petisyen pilihan raya yang telah dikemukakan mengenai salah laku sogokan wang bahkan ada video yang membuktikan amalan merasuah pengundi dengan menggunakan nama Allah.

Selain itu katanya, Pemuda UMNO juga mengucapkan syabas kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mula mengambil tindakan menangkap suspek yang terlibat dalam kes penyelewengan RM92.5 bilion pakej rangsangan, yang diluluskan dalam tempoh darurat.

“Ini mengesahkan lagi kesangsian kita selama ini bahawa kemungkinan berbilion-bilion duit rakyat disakau melalui projek-projek rundingan terus yang diluluskan dalam tempoh Darurat Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terdahulu.

“Barangkali mungkin sebab itu jugalah ada parti yang selama ini bersandiwara dengan mengutip duit syiling untuk memasang bendera, kini boleh berkempen dengan berbelanja mewah sehingga ratusan ringgit dibayar kepada pengundi luar dan mahasiswa!

“Barangkali mungkin sebab itu juga ada parti yang baru setahun jagung ditubuh, tiba-tiba begitu mewah dalam berkempen sehingga mampu berbelanja jutaan ringgit bagi menyogok pengundi muda dan pengundi kali pertama,” dakwanya lagi.

Justeru, Pemuda UMNO menggesa agar pihak SPRM dan Peguam Negara terus memburu dan segera mendakwa mereka yang disyaki terlibat dalam rasuah dan penyelewengan berbilion-bilion wang rakyat di sebalik slogan Bersih Stabil yang dicanang-canangkan.

“Jangan ada lagi pilih kasih! Jangan ada lagi pendakwaan politik terpilih! Hingga ramai yang menjadi mangsa penganiayaan, penghinaan dan dimalukan bertahun-tahun lamanya,” tegasnya.

Begitu juga katanya, Pemuda UMNO mahu kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) bagi mengambil tindakan keras atas segala pendedahan Tommy Thomas yang jelas menzahirkan wujud pendakwaan terpilih malah campur tangan politik dalam badan kehakiman negara.

“Pemuda UMNO juga ingin mencadangkan agar semua pemimpin-pemimpin UMNO yang telah dibebaskan oleh Mahkamah agar bersepakat menyaman Tommy Thomas yang terbukti berniat jahat hanya untuk memalukan dan merosakkan reputasi UMNO dengan pendakwaan politik terpilih.

“Biar menjadi pengajaran bahawa Melayu-UMNO ini bangsa yang tidak pernah tunduk kepada ugutan, tidak mengemis belas kasihan, tidak melutut kepada kezaliman,” tambahnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit