Akademi Kepimpinan Wanita Perlu Diwujud, Perkasa Bakat Baharu Dan Tingkat Kualiti Kepimpinan

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Wanita UMNO Negeri Sabah hari ini berpandangan Akademi Kepimpinan Wanita perlu diwujudkan bagi memperkasakan kepimpinan dalam kalangan golongan ini.

Naib Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Juriah Palasin yang bertindak sebagai pencadang pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2022 berkata akademi ini juga amat penting bagi mencari bakat kepimpinan baharu sekaligus penyertaan Wanita dapat dipertingkat terutama ketika berhadapan dengan pilihan raya.

“Mencadangkan penubuhan Akademi Kepimpinan Wanita bagi membantu masa depan parti dan negara menyediakan pemimpin pelapis Wanita untuk mengisi tempat sebagai calon pilihan raya, anggota Dewan Negara (Senator) dan peneraju syarikat berkaitan kerajaan.

“Menggesa agar Presiden dan kepimpinan tertinggi UMNO untuk menyokong usaha perjuangan Wanita yang mahukan pencapaian 30 peratus sasaran penyertaan calon Wanita Barisan Nasional pada siri Pilihan Raya Negeri yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu beliau yang juga Ketua Wanita Bahagian Putatan turut memberikan mandat kepada kepimpinan tertinggi parti iaitu Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden untuk bermuafakat dan berbincang dalam menentukan hala tuju parti pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Sehubungan dengan itu, kami ahli-ahli Wanita UMNO 25 Bahagian Negeri Sabah penuh yakin dan percaya ini adalah langkah yang terbaik dalam usaha untuk memperkukuhkan persefahaman dalam kalangan UMNO dan kembali bangkit untuk terus kekal relevan pada masa akan datang,” ujar beliau.

Sementara itu Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Bharu, Madihah Ab Aziz turut menyokong cadangan untuk diwujudkan Akademi Kepimpinan Wanita berdasarkan pengalaman daripada Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang merupakan Bekas Menteri Pengajian Tinggi.

Beliau malah berharap akademi ini akan dilaksanakan dengan baik dan istiqamah serta tidak bersifat hangat-hangat taik ayam kerana manfaatnya sangat besar sekiranya ianya dilaksana dengan baik.

“Kami yakin dengan pengalaman Ketua Wanita yang merupakan bekas Menteri Pengajian Tinggi agar dilaksanakan Akademi Kepimpinan Wanita dapat direalisasikan dengan sempurna dan segera, jangan tangguh-tangguh lagi.

“Selain Akademi Kepimpian Wanita, Program APEL @ Applying for Accredation of Prior Experiential Learning yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi semasa Ketua Wanita sebagai Menteri adalah satu usaha yang sangat baik.

“Semoga ia dapat memberi peluang kepada semua Wanita untuk meningkatkan kewibawaan diri Peluang pengajian yang sangat baik ini dimana dengan hanya berbekalkan pengalaman kerja membolehkan kita melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda, Sarjana malah ke peringkat Kedoktoran,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit