Ahli UMNO Perlu Muhasabah Diri, Perbaiki Kesilapan Pada PRU Lalu – Ummi Kalsom

KUALA LUMPUR, 12 Jan – UMNO perlu muhasabah diri dan mengambil pengajaran berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 malah parti ini harus diberikan nafas baharu kerana cabaran politik masa kini cukup jauh berbeza terutamanya pengundi muda.

Penyokong usul ucapan dasar Ketua Puteri UMNO, Ummi Kalsom Abu Muthalib berkata UMNO perlu melakukan rejuvenasi yang baharu kerana demografi dan politik pada masa ini berbeza dengan pengundi seawal umur 18 tahun yang terlibat, sudah pasti tahun hadapan dan seterusnya akan bertambah pengundi muda.

“UMNO perlu mengikut peredaran zaman dan tidak perlu lagi bersandarkan pada kegemilangan, sejarah, budi dan jasa UMNO tetapi harus melihat ke depan khususnya untuk anak-anak muda.

“Saya percaya kepimpinan UMNO/BN pasti akan menyentuh dan mencipta lebih banyak ikon pada masa hadapan.  

“UMNO perlu menguasai media sosial kerana anak muda hanya mengenali parti politik melalui jaringan tersebut. Pada PRU sebelum ini sebenarnya kita masih gagal menguasai media sosial dan kalau kita tidak menggunakan sebaik-baiknya media sosial ini pasti kita akan ketinggalan pada PRU16 dan seterusnya.”

Maka katanya, UMNO perlu ambil iktibar bahawa media sosial adalah sangat penting. 

Beliau yang juga Exco Pergerakan Puteri berkata demikian ketika berbahas pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO, di WTCKL hari ini.

“Kita mengharapkan agar pimpinan tertinggi UMNO dapat mencari punca kekalahan parti ini pada PRU lalu.

“UMNO/ BN perlu mengambil iktibar serta digesa turut melakukan ‘post-mortem’ bagi mencari punca kenapa parti keramat ini kalah teruk pada PRU lalu.

“Tindakan ini perlu bagi menyelamatkan parti daripada terus gagal dan ‘dimalukan’ sebagaimana yang dihadapi ketika ini.”

Tegasnya, meskipun kekalahan UMNO/ BN mengejutkan, namun jangan jadikan ia satu halangan sebaliknya parti perlu terus berdiri dan mengukuhkan kembali asas. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit