Pelbagai Topik, Aspek Bakal Hiasi PAU 2022 Untuk Teruskan Perjuangan – Isham Jalil

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Ketua-ketua Penerangan Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO hari ini diraikan dalam satu majlis santai bersama Ketua Penerangan parti, Isham Jalil sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang akan bermula petang nanti dengan Majlis Taklimat Presiden.

Majlis ramah mesra tersebut walaupun dalam jangka waktu yang singkat, namun ia memberi ruang secara lebih dekat kepada barisan hadapan parti dari seluruh negara itu untuk berkongsi pandangan masing-masing.

Isham Jalil dalam ucapan ringkasnya berkata sepanjang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ini, tentu banyak perkara dan pelbagai aspek yang akan menjadi topik perbincangan para perwakilan yang datang daripada seluruh negara.

“Apa-apa pun tentunya masing-masing terus bertekad untuk berjuang di dalam parti dan masing-masing pun tahu kenapa kita perlu terus berjuang dalam UMNO hari ini. Sepertimana yang ditegaskan dalam jelajah penerangan sebelum ini masing-masing tentunya ada sebab mengapa terus berjuang di dalam UMNO.

“Jadi kita kena teruskan perjuangan walau apa dalam keadaan sekali pun… sepertimana hari ini pasca Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu kita tetap berjuang untuk parti,” katanya.

Turut serta Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim; Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan pimpinan lain.

Isham seterusnya mengulangi persoalan yang pernah ditimbulkannya sebelum ini berkaitan soal rasuah pada PRU lalu yang dianggap terburuk.

“Kita kalah dahulunya sebab mereka tuduh kita rasuah…kali ini siapa pula yang rasuah Mereka tuduh kita macam-macam tetapi sebaliknya. Kita kena persoal perkara ini. Mereka perlu jawab perkara ini. Kita tidak boleh benarkan negara kita ke arah itu,” tambahnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit